Khamis, 29 November 2007

Bersama Membangun Modal Insan OKU


Kerajaan terus menyediakan pelbagai program untuk menjaga dan membantu orang kurang upaya (OKU) termasuk penyediaan kemudahan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal.

Bagi memastikan OKU mendapat akses kepada program tersebut, kempen untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendaftar OKU telah dimulakan pada tahun 2001. Pada akhir tahun 2005, seramai 150,600 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

Kerajaan juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi pembelian rumah kos rendah.

Usaha untuk membolehkan OKU menyertai kegiatan masyarakat sekeliling dipergiatkan melalui program pemulihan berasaskan masyarakat melibatkan keluarga mereka dan masyarakat serta disokong oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran dan JKMM.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), sebanyak 313 pusat pemulihan berasaskan masyarakat ditubuhkan dan memberi manfaat kepada 8,453 OKU.

Kerajaan terus menyediakan peluang latihan dan pekerjaan untuk membantu OKU berdikari. Pusat Pemulihan dan Latihan Industri di Bangi menyediakan latihan kepada 703 OKU dalam bidang komputer, mereka bentuk dan membuat pakaian, membuat peralatan prostetik dan orthotik serta kerusi roda.

Sebanyak 30 peratus daripada pelatih menyertai pasaran pekerjaan manakala sebahagian lagi mendapat pekerjaan di bengkel terlindung yang diuruskan oleh Kerajaan dan NGO.

Bagi menggalakkan mereka terus bekerja untuk menyara hidup mereka dan keluarga, Elaun Pekerja Kurang Upaya bernilai RM200 sebulan disedikan mulai tahun 2004 kepada yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan.

Geran pelancaran dengan nilai maksimum RM2,700 seorang juga disediakan untuk membantu dan menggalakkan OKU menceburi perniagaan kecil dengan geran tambahan disediakan untuk membesarkan perniagaan mereka.

Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra OKU seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan.

Di bawah Program Perumahan Rakyat Bersepadu, pemaju perumahan dikehendaki memperuntukkan 10 peratus daripada rumah pangsa yang dibina dengan kelengkapan dan kemudahan yang sesuai untuk OKU.

Di samping itu, pengangkutan awam seperti rel transit ringan dan bas juga menyediakan kemudahan yang membolehkan OKU bergerak dan menggunakannya tanpa halangan.

Taman Sinar Harapan siap dibina di Jitra, Kedah, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak tujuh rumah menempatkan seramai 1,080 OKU. Rumah tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk perubatan pulih anggota, terapi pekerjaan, terapi muzik, pemulihan kesihatan serta kaunseling untuk membantu penghuni menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), program mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang normal akan terus di pergiatkan.

Bagi memastikan mereka tidak terpinggir, proses pendaftaran akan diperkemaskan untuk perancangan program dan kemudahan yang teratur.

Akta OKU akan digubal untuk meningkatkan dan melindungi hak OKU supaya hidup bermaruah dan mempunyai harga diri. Akta ini akan memberi hak kepada mereka untuk diterima oleh masyarakat, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional, pembelajaran, persekitaran bebas, dari halangan serta akses kpeda ICT.

Program pemulihan berasaskan komuniti terbukti berkesan dari segi kos dan merupakan pilihan yang berkesan kepada institusi pemulihan bagi OKU.

Sehubungan ini, lebih banyak pusat pemulihan berasaskan komuniti akan ditubuhkan dalam RMK-9.

Pusat pemulihan ini akan dibangunkan sebagai pusat khidmat setempat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada OKU.

Hakikatnya, semua yang dilakukan Kerajaan adalah untuk bersama membangun modal insan OKU dan jesteru itulah,"Bersama Membangun Modal Insan OKU" dipilih sebagai tema untuk sambutan Hari OKU tahun ini.


SAMBUTAN HARI OKU

Bersempena Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) Peringkat Kebangsaan kali ke-14 yang akan disambut pada 4 Disember ini, pelbagai acara seperti majlis sambutan, konvensyen dan ekspo akan diadakan.

Hari OKU disambut setiap tahun sejak 1994. Sambutan ini adalah selaras dengan Resolusi No 47/3 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengisytiharkan 3 Disember sebagai HOKU Antarabangsa.

Majlis sambutan Hari OKU akan dirasmikan oleh isteri Perdana menteri Datin Seri Jeanne Abdullah di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya, pada 4 Disember.

Konvensyen Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) 2007 pula akan diadakan selama tiga hari bermula 3 Disember di Sunway Hotel Resort, Petaling Jaya. Peserta Konvensyen terdiri daripada Japan Oversea Coorperation Volunteer (JOCV), Pengerusi PDK dan Pekerja PDK seramai 450 orang.

Antara objektifnya adalah untuk memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai keperluan dan perkembangan perubahan peradigma PDK sebagai alternatif perkhidmatan institusi kepada altenatif pendidikan khas selaras dengan pendidikan berwajib.

Ia juga bagi membolehkan perkongsian pengalaman dan penghasilan idea ke arah pencapaian strategik program PDK dalam menghadapi cabaran dan inisiatif baru selain mencetuskan satu pergolakan minda yang positif dan dinamik kepada program PDK sebagai bukti kepekaan kepada setiap isu perubahan yang berlaku.

Ekspo sempena Sambutan Hari OKU pula akan diadakan selama dua hari bermula 3 Disember di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya.


OBJEKTIF HARI OKU

Antara objektif HOKU adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa OKU adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang mempunyai hak yang sama dan berkeupayaan serta berperanan dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap kesejahteraan OKU dan seterusnya menggerakkan komuniti supaya meningkatkan kemudahan dan program-program bagi OKU.

Acara kemuncak pada majlis sambutan HOKU ialah penyampaian beberapa anugerah iaitu:

* Anugerah Khas OKU Cemerlang yang diberikan kepada seorang OKU yang telah mencapai kecemerlangan dalam sesuatu bidang tertentu;

* Anugerah Pengiktirafan Bangunan Dengan Kemudahan Akses diberikan sebagai pengiktirafan kepada pemilik bangunan yang mempunyai kemudahan akses untuk OKU. Pemilik bangunan merangkumi hotel, bangunan pejabat, kompleks kerajaan dan kompleks membeli-belah;

* Anugerah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang diberikan sebagai pengiktirafan kepada pusat PDK;

* Anugerah Pekerja Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang pula adalah untuk memberi pengiktirafan kepada Pekerja PDK Cemerlang;

* Anugerah Majikan Penyayang adalah untuk memberi pengiktirafan kepada Majikan Penyayang yang banyak memberi peluang pekerjaan kepada OKU.

Penyampaian cenderamata Pemenang Acara 7th International Abilympic, Shizuoka Jepun 2007 dan penyampaian sumbangan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, turut diadakan.


Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama