Khamis, 29 November 2007

Peningkatan Belanjawan Pertahanan Rancak Pasaran Senjata Asia Tenggara


Mulai 4 hingga 8 Disember depan, ruang udara dan perairan Pulau Langkawi sekali lagi bertukar wajah menjadi pasaran senjata terbesar di Asia, menghimpunkan pelbagai sistem pertahanan daripada pesawat pejuang paling canggih kepada kapal selam terbaru.

Dalam tempoh yang singkat itu Langkawi menjadi tuan rumah kepada peserta-peserta Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2007 (LIMA 07) yang diadakan sekali setiap dua tahun.

Sepanjang tempoh lima hari itu pesawat-pesawat pejuang supersonik, kapal selam ultra-senyap, helikopter tempur yang canggih dan pelbagai sistem persenjataan bernilai beratus ribu juta ringgit akan memperlihatkan kehebatan masing-masing.

Tetapi yang lebih penting ialah kehadiran penggiat-penggiat utama industri pertahanan dunia di Langkawi yang mengembalikan semula kerancakan pasaran senjata Asia Tenggara termasuk di Malaysia, selepas hampir 10 tahun menyepi berikutan krisis mata wang yang melanda rantau ini pada 1998.

Kegawatan ekonomi akibat krisis mata wang memaksa negara-negara rantau itu mengurangkan perbelanjaan pertahanan.


BELANJAWAN PERTAHANAN SERANTAU MENINGKAT

Selepas beberapa tahun mengikat perut, kecuali Singapura yang meneruskan program permodenan angkatan tenteranya, beberapa negara di rantau ini mula membeli senjata-senjata baru untuk kegunaan tentera masing-masing.

Berikutan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan sejak beberapa tahun lepas, ditambah pula dengan keadaan geopolitik serantau dan dunia yang tidak menentu, kerajaan-kerajaan di rantau ini mula meningkatkan belanjawan pertahanan mereka.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh sebuah pusat pemikir berpengaruh, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), belanjawan pertahanan di negara-negara Asia Tenggara telah meningkat kebelakangan ini.

Selaras dengan peningkatan belanjawan pertahanan itu, aktiviti pembelian senjata oleh angkatan negara rantau ini turut kembali aktif.

Laporan pusat pemikir itu menyatakan Malaysia telah memperuntukkan kira-kira US$3 bilion tahun lepas untuk perbelanjaan ketenteraannya, manakala Indonesia pula membelanjakan sejumlah US$3.7 bilion untuk sektor itu tahun lepas.


BELANJAWAN PERTAHANAN SINGAPURA TERTINGGI

Singapura yang mempunyai belanjawan pertahanan tertinggi di Asia Tenggara pula membelanjakan US$5.8 bilion pada tahun lepas, berbanding Thailand dengan US$2 bilion untuk tempoh yang sama.

Bagaimanapun, Thailand sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Pertahanannya baru-baru ini memutuskan untuk meningkatkan belanjawan pertahanannya kepada US$5.1 bilion pada tahun depan.

Belanjawan pertahanan bagi Filipina pada tahun lepas turut meningkat kepada kira-kira US$900 juta berbanding US$860 juta pada tahun sebelumnya, manakala Brunei turut memperuntukkan kira-kira US$200 juta untuk pertahanan.

Secara keseluruhannya pasaran senjata di Asia Tenggara, tidak termasuk Vietnam, Laos dan Myanmar, dianggarkan bernilai hampir US$20 bilion setiap tahun dan ianya merupakan sebuah pasaran yang amat lumayan bagi syarikat-syarikat yang berminat.

Sebahagian besar peruntukan belanjawan ini akan diguna untuk menggantikan aset yang ketinggalan zaman.


MALAYSIA MENYAMBUNG SEMULA PERMODENAN TENTERA

Bagi Malaysia, sejak awal tahun 2000 ia telah mengorak langkah menyambung semula program pemodenan angkatan bersenjatanya dengan beberapa pembelian sistem persenjataan untuk memenuhi keperluan ketiga-tiga cabang tenteranya.

Sejak 2003, apabila ekonominya kembali mantap Kuala Lumpur telah mengambil langkah untuk memperoleh 18 buah pesawat pejuang pelbagai guna Sukhoi SU-30MKM dari Rusia bernilai RM3.42 bilion dan disusuli pula dengan pembelian dua buah kapal selam "Scorpene" serta sebuah kapal selam terpakai "Agosta" untuk tujuan latihan bernilai kira-kira RM4 bilion.

Ia turut membelanjakan lebih RM1 bilion untuk memperoleh 48 buah kereta kebal utama PT-91M "Twardy" dari Poland dan melengkapkan Rejimen Artilerinya dengan sistem pelancar roket berganda buatan syarikat Brazil, yang dianggap penganalisis ketenteraan sebagai satu aset strategik.

Kuala Lumpur kini sudah hampir pasti akan memeterai perjanjian dengan syarikat-syarikat pertahanan dunia untuk memperoleh tambahan dua buah kapal perang friget, helikopter baru untuk menggantikan Nuri dan sistem pertahanan udara jarak sederhana.

Syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa juga dipercayai telah membuat tawaran kepada kerajaan Malaysia untuk perolehan beberapa sistem pertahanan termasuk pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) dan kereta perisai.


SINGAPURA MANTAPKAN LAGI KEMAMPUAN PERTAHANANNYA

Jiran terdekat Malaysia di seberang tambak, Singapura yang mempunyai belanjawan pertahanan tertinggi di rantau turut melakukan beberapa perolehan hebat termasuk membeli pesawat pejuang pelbagai guna F-15SG yang dianggarkan bernilai lebih US$1 bilion pada 2005.

Republik itu turut melengkapkan angkatan tenteranya dengan helikopter tempur AH-64D "Longbow" yang tercanggih di rantau, enam buah kapal friget halimunan kelas "Delta" dan 66 buah kereta kebal utama Leopard 2A4 yang dibeli daripada stok lebihan tentera Jerman.

Terbaru, Singapura yang mempunyai hubungan ketenteraan yang rapat dengan Tel Aviv telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memperoleh empat buah pesawat AEWC jenis Gulfstream G550 yang dilengkapi dengan radar dan sistem elektronik buatan syarikat Israel.

Keempat-empat pesawat disifatkan sebagai mata dan telinga utama Singapura dan akan menggantikan empat buah pesawat E-2C "Hawkeye", yang digunakannya sejak dahulu.

Republik itu turut memperoleh pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) moden dari Israel "Elbit Hermes", sebuah UAV yang berkemampuan terbang tanpa henti selama 20 jam dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik yang sensitif.


INDONESIA DAN THAILAND TIDAK KETINGGALAN

Thailand juga tidak ketinggalan dalam usaha memodenkan tenteranya dan bulan lepas, negara itu mengumumkan ia akan melengkapkan tentera udaranya dengan 12 buah pesawat pejuang "Gripen" serta dua buah pesawat AEWC "Erieye".

Ia merupakan perolehan senjata terbesar dilakukan oleh Bangkok selepas zaman kegawatan ekonomi.

Tentera Daratnya yang menangani konflik di wilayah selatan baru-baru ini turut dilengkapi dengan 94 buah kereta perisai buatan Ukraine serta refel-refel baru SAR-21 dan "Tavor" yang dibeli daripada syarikat Israel Military Industries (IMI).

Manakala September lepas pula, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin menandatangani perjanjian pertahanan bernilai US$1 bilion.

Perjanjian itu membolehkan Indonesia memperoleh 17 helikopter pengangkut, lima helikopter tempur, 20 kereta berperisai amfibia dan dua buah kapal selam jenis "Kilo".

Perolehan senjata-senjata terbaru dari Rusia berlaku selepas pembelian empat buah kapal perang korvet peluru berpandu dari Belanda dan enam buah pesawat pejuang Sukhoi SU-30MK buatan Rusia.


Laporan Khas oleh Mohd Haikal Isa
Bernama