Isnin, 5 November 2007

Berita baik untuk X-Philers




20th Century Fox telah mengesahkan bahawa kerja-kerja penggambaran filem The X-Files yang kedua akan dimulakan pada 10 Disember 2007 di Vancouver dan dijangka akan ditayangkan pada 25 Julai 2008.

Ini merupakan berita baik kepada X-Philers ataupun peminat siri X-Files yang telah sekian lama menanti kemunculan semula X-Files. Filem X-Files yang pertama telah menemui peminat pada tahun 1998 dan sekuelnya dijangka ditayangkan sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 2008. Filem ini akan ditulis oleh penulis asal siri television The X-Files iaitu Frank Spotnitz dan akan diarahkan oleh pengarah asal siri ini Chris Carter. Filem ini akan dilakonkan oleh pelakon asal siri ini iaitu David Duchovny dan Gillian Anderson.

Plot filem The X-Files 2 berbeza dengan filem pertama kerana ia tidak lagi mengisahkan tentang konspirasi kerajaan tentang UFO dan makhluk asing sebaliknya mengisahkan tentang misteri dan kejadian-kejadian aneh yang disiasat oleh Mulder (David Duchovny) dan Scully (Gillian Anderson). Filem yang kedua ini dijangka lebih seram dan mempunyai unsur-unsur suspen yang menyamai filem-filem seram seperti The Ring, Ju-On dan sebagainya.

The X-Files telah menjadi fenomena pada penghujung 90'an dan telah mempengaruhi siri-siri television lain seperti The Burning Zone, First Wave, John Doe, Strange World, Special Unit 2, Mysterious Ways, Lost, Carnivale, Millenium, Dark Skies, Taken, The Visitor, Freaky Links, Psi Factor: Chronicles of the Paranormal, CSI dan Supernatural. Dijangka kemunculan semula filem ini akan mencatatkan kutipan box-office yang luarbiasa dan mungkin juga akan membawa kepada siri baru The X-Files di television.


-NOKEMIKAL