Hari ini Hari Diabetes Sedunia, rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan ini untuk menilai tabiat pemakanan mereka dengan mengambil kira hakikat yang makanan manis boleh menggugat riwayat mereka.
Hari ini, lebih 240 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, bilangan itu dijangka meningkat kepada 380 juta orang.
Setiap tahun, 3.8 juta kematian di seluruh dunia berpunca kerana diabetes. Dengan kesan binasa seperti ini, diabetes kini diiktiraf sebagai penyakit kronik, yang melemahkan tubuh dan yang banyak menyebabkan kerugian oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menerusi satu resolusi penting yang diluluskan pada 20 Dis lepas.
Resolusi itu yang memperuntukkan Hari Diabetes Sedunia bermula tahun ini.
Tema Hari Diabetes Sedunia julung kali itu ialah "Diabetes pada Kanak-kanak dan Dewasa". Diabetes merupakan antara penyakit paling kronik di usia kanak-kanak dan boleh berlaku pada kanak-kanak di mana-mana peringkat umur, termasuk kanak-kanak pra-sekolah dan sehinggakan kanak-kanak yang bertatih-tatih.
Meskipun demikian, diabetes pada kanak-kanak sama ada lewat dikesan atau diagnosis yang dibuat adalah salah sama sekali. Dan di pelbagai pelusuk dunia, insulin, satu-satunya ubat penyelamat nyawa, tidak boleh didapati ada kalanya kerana faktor-faktor membabitkan ekonomi, geografi ataupun kekurangan bekalan.
Ini menyebabkan ramai kanak-kanak mati kerana diabetes, khasnya di negara-negara dengan pendapatan rendah atau sederhana."Yang paling rapat dengan kanak-kanak, tidak kira keluarga, penjaga atau guru sekolah mungkin tidak menyedari tanda-tanda penyakit itu," kata K.S. Maniam penolong setiausaha am Persatuan Diabetes Malaysia kepada Bernama baru-baru ini.
ELAKKAN KEJAHILAN
Maniam berkata diabetes Type 1, yang sebelum ini dikenali sebagai diabetes juvana, meningkat sebanyak 3 peratus pada kanak-kanak setiap tahun dan di kalangan kanak-kanak pra-sekolah angkanya lebih tinggi iaitu sebanyak 5 peratus.
Dalam diabetes Type 1, badan tidak dapat menghasilkan insulin dan mereka dengan diabetes ini memerlukan rawatan insulin untuk meneruskan dengan hidup.
Diabetes Type 2 merupakan diabetes jenis lazim. Dalam diabetes Type 2, sama ada tubuh tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup ataupun sel-sel mengabaikan insulin, satu situasi yang ada kalanya dikenali sebagai rentan insulin. Diabetes Type 2 lazimnya berlaku di kalangan dewasa, lazimnya usia 45 tahun dan lebih. Diabetes bentuk ini dikawal melalui pengurangan berat badan, senaman atau ubat yang diambil melalui mulut."Lebih separuh daripada mereka dengan Type 2 diabetes memerlukan insulin untuk mengawal paras gula darah pada peringkat tertentu penyakit mereka itu," kata Maniam.
Beliau menambah kata adalah dianggarkan di seluruh dunia 70,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menghidap diabetes Type 1 setiap tahun dan daripada 440,000 kes diabetes Type 1 di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, lebih satu perempat berada di Asia Tenggara dan lebih daripada satu perlima di Eropah.
"Diabetes Type 2 dahulunya dianggap sebagai penyakit orang dewasa. Tetapi hari ini ia meningkat pada kadar yang menakutkan di kalangan kanak-kanak dan remaja. Sejak 20 tahun yang lepas, diabetes Type 2 telah berganda di kalangan kanak-kanak di Jepun dan ia kini lebih lazim berbanding Type 1.
"Diabetes mempunyai kesan unik pada kanak-kanak dan keluarga mereka kerana ia menjejaskan kehidupan harian mereka, memandangkan paras glukos darah mereka perlu dimantau, mengambil ubat-ubatan dan mengimbangi kesan makanan dan aktiviti. Diagnosis dan pendidikan awal adalah penting dalam membantu mengurangkan komplikasi dan menyelamatkan nyawa," jelas beliau.
USAHA MENINGKATKAN KESEDARAN
Maniam berkata satu seminar separuh hari telah dianjurkan pada 11 Nov untuk mendidik orang ramai bagaimana menguruskan diabetes bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia.
"Kami mempunyai 14 cawangan negeri dan 37 cawangan peringkat daerah dan kami memperuntukkan RM2,000 bagi setiap daripada cawangan ini untuk membantu membiayai aktiviti-aktiviti mereka seperti menganjurkan seminar bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia.
"Beliau berkata mendidik orang ramai mengenai diabetes merupakan satu cabaran kerana ramai masih gagal mengaitkan gaya hidup iaitu tabiat pemakanan dan senaman dengan diabetes.
"Jika orang ramai menjaga pemakanan mereka dan bersenam secara berjadual, kita boleh mengurangkan statistik. Satu kajian menunjukkan bahawa orang Melayu merupakan kumpulan terbesar penghidap diabetes, diikuti oleh warga India dan China.
"Dalam kes kanak-kanak dengan diabetes, ibu bapa pastinya bimbang. Guru-guru, sementara itu jahil dengan simptom-simptom yang ditunjukkan oleh murid dengan diabetes.
"Maniam berkata persatuan itu kini dalam proses mengeluarkan risalah bertema "Panduan Maklumat: Diabetes di Sekolah-sekolah".
"Kami melakukan projek perintis bersama sebuah sekolah menengah di mana 700 penuntut menghadiri ceramah. Di Australia ini telah dilakukan sejak bertahun-tahun lepas. Di sekolah-sekolah tidak ada maklumat yang mencukupi mengenai diabetes dan apa untuk dilakukkan jika ada murid yang pengsan oleh kerana `hypoglycemia' atau `hyperglycemia' disebabkan diabetes.
SEKOLAH-SEKOLAH MESTI ANJUR CERAMAH
Maniam berkata sekolah-sekolah boleh menganjurkan ceramah akan penyakit-penyakit utama untuk mendidik pelajar mengenai pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kematian dan bagaimana mencegah penyakit-penyakit ini.
"Mungkin satu persatuan boleh dibentuk di sekolah-sekolah yang menumpukan pada penyakit-penyakit untuk meningkatkan kesedaran dari awal lagi supaya apabila mereka telah dewasa mereka boleh mengamalkan gaya hidup sihat.
Apabila kami berceramah di sekolah-sekolah, pelajar-pelajar ditunjukkan gambar amputasi jari kaki dan kaki untuk menimbulkan kesedaran pada mereka akan betapa membinasa penyakit diabetes ini.
"Kita tidak boleh melewatkan proses pendidikan kerana lebih cepat kita mula berkomunikasi dengan kanak-kanak, peluangnya adalah lebih cerah untuk mengurangkan bilangan mereka dengan diabetes," katanya.
Persatuan Diabetes Malaysia boleh dihubungi melalui 03-79574062 atau menerusi lamannya di www.diabetes.org.my.
Oleh Jeswan Kaur
Bernama