Di pinggir ibu negara China, Beijing Huadu Broiler Company sedang menyiapkan kemudahan baru yang akan mula beroperasi sebelum temasya Sukan Olimpik 2008.
Syarikat itu diasaskan pada 1982 dan merupakan penternak integrasi dan pemproses ayam yang terulung di Beijing. Ia memproses sehingga 36 juta ekor ayam setiap tahun dengan sebahagian besar hasil dijual dalam bentuk daging segar.
Syarikat itu dianggap sebagai syarikat contoh oleh pemeriksa kualiti kerajaan serta penganjur temasya sukan itu dalam kempen perhubungan raya untuk memperbetulkan tanggapan akan sejauh mana selamat makanan keluaran China.
Wei Chuan Zhong, Naib-Menteri Pentadbiran Am bagi Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ), berkata agensi itu sedang berusaha memastikan keselamatan makanan semasa temasya itu.
Usaha-usaha yang telah diambil termasuk memperkenalkan tag-tag elektronik, menyediakan rancangan tindakbalas kecemasan, pemeriksaan rambang dan bersedia menghadapi serangan anti-biologi yang boleh menjejaskan rantaian makanan bagi lebih kurang 10,000 atlet dan beribu-ribu lagi yang datang menyaksikan aksi Olimpik.
Langkah-langkah diambil untuk mencegah pertubuhan-pertubuhan pengganas antarabangsa daripada menggunakan kaedah biologi untuk mengancam orang ramai, demikian jelas Wei.
MEMULIHKAN IMEJ
Media negara melaporkan bahawa semasa Olimpik, sebanyak 131 tan daging, 82 tan makanan laut, 330 tan buah-buahan dan sayur-sayuran, 21 tan keju, 75,000 tan susu dan tiga juta botol minuman dijangka diperlukan semasa temasya itu.
Malangnya ekoran beberapa insiden membabitkan produk Cina sejak kebelakangan ini yang termasuk makanan laut dan makanan haiwan peliharaan yang tercemar menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak termasuk para chef-de-mission Olimpik semasa satu mesyuarat di Beijing baru-baru ini.
Pada Ogos, kerajaan mula bertindak dalam usaha memastikan keselamatan makanan dan kawalan kualiti. Wu Yi, naib perdana menteri, yang menangani dengan jayanya Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk pada 2003 diberi tanggungjawab memulihkan imej produk makanan Cina.
Majlis Negara China (Kabinet) awal bulan ini meluluskan satu rang undang-undang untuk meningkatkan standard dan penyeliaan bagi keselamatan makanan dengan Kementerian Pertanian mengharamkan lima racun serangga yang sangat toksik.
MENINGKATKAN OUTPUT
Beijing Huadu Broiler Company belum dilantik sebagai pembekal rasmi bagi temasya Olimpik tetapi itu hanya akademik.
Syarikat itu disenaraikan sebagai antara 50 pengeluar utama dalam industri daging China dan disenaraikan dalam aturcara lawatan media tempatan dan antarabangsa yang diadakan oleh Pusat Media Olimpik Beijing ke dua pusat pengeluaran daging.
Pengurus Besar syarikat itu She Feng berkata syarikatnya sedang melakukan perancangan untuk menyediakan 10,000 tan ayam bagi keperluan sepanjang tempoh temasya itu."Kami sedang membina kemudahan baru yang akan mula beroperasi pada Jun depan dengan peralatan yang diimport daripada Eropah dan Jepun," katanya.
Syarikat itu menggajikan lebih kurang 4,500 orang dan menjangka jualan melampaui 1.5 bilion yuan (RM710 juta) pada tahun ini. Ia mampu mengeluarkan 70,000 tan daging segar yang diproses, mengeksport lebih daripada 10,000 tan ke pasaran-pasaran seperti Korea Selatan dan Jepun.
TIADA PILIH KASIH
Di kilang itu di daerah Changping, lebih kurang 30 minit perjalanan dari Beijing, juruteknik-juruteknik mengisar daging segar untuk menguji kehadiran sisa-sisa antibiotik.
Li Yuanping, ketua pengarah bagi keselamatan makanan di ASQIQ, berkata kementerian pertanian telah menetapkan satu standard bagi ubat-ubatan unggas dan haiwan.
"Kami mempunyai sistem pengurusan yang sama bagi kesemua pengguna termasuk bagi Sukan Olimpik," katanya apabila ditanya sama ada terdapat standard hormon berlainan bagi daging yang dibekalkan sebagai makanan semasa Olimpik bagi mengelakkan risiko ia menjejaskan ujian dadah pada atlet.
She Feng juga menegaskan bahawa ayam bagi Olimpik bukan berlainan daripada yang dibekalkan kepada para pengguna Cina, dan menambah kata kualitinya adalah sama.
Oleh Tham Choy Lin
Bernama