Selasa, 13 November 2007

Scorpene Tidak Cetuskan Perlumbaan Senjata


Pembelian dua kapal selam jenis Scorpene bernilai RM3.4 bilion tidak akan mencetuskan perlumbaan senjata kerana Malaysia bukanlah negara pertama di rantau ini yang meningkatkan kemampuan tentera lautnya dengan pembelian kapal penyerang bawah permukaan air.

Dr Tang Siew Mun, pensyarah Sejarah, Politik dan Pengajian Strategik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Malaysia telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak pernah berminat menjadi sebuah kuasa tentera.

Dr Tang adalah pakar dalam bidang strategi, perang dan penggunaan kuasa.

"Bilangan (kapal selam) yang dibeli juga adalah amat kecil. Satu dalam perjalanan, satu lagi sedang dibina. Ia tidak akan mengubah apa-apa dari segi keseimbangan kuasa strategik di rantau ini," Dr Tang memberitahu Bernama baru-baru ini.

Menurut Dr Tang negara-negara yang lebih moden dari segi ketenteraan seperti Singapura dan Australia pula tidak akan risau dengan pembelian kapal selam oleh Malaysia kerana mereka mempunyai cukup senjata anti kapal selam.


PERLUMBAAN SENJATA

Tidak pernah berlaku sebarang perlumbaan senjata di Asia Tenggara kerana kebanyakan negara di rantau ini mempunyai kemampuan terhad dari segi kewangan.

Pada era Perang Dingin pun, keselamatan ditaja jamin sama ada oleh Soviet Union atau Amerika Syarikat.

"Kenapa negara lain harus bimbang (dengan pembelian kapal selam oleh Malaysia)? Lepas era Perang Dingin dulu, Indonesia membeli sebahagian besar kapal-kapal kepunyaan tentera laut Jerman Timur.

"Adakah ia membuatkan kita resah? Patutkah kita membeli senjata untuk bersaing dengan Indonesia? Jawapannya sudah tentu tidak," kata Dr Tang, sambil menambah kapal-kapal itu kini tidak beroperasi kerana kekurangan kewangan.

"Ini bermakna, kalau kita nak bersaing dan berlumba senjata dengan negara lain sekalipun, kita tidak mampu untuk berbuat sedemikian. Tambahan lagi, kita tidak menganggap mereka sebagai musuh," kata beliau.

Menurut Dr Tang, pembelian senjata tidak sama dengan membina bangunan KLCC atau memajukan Wilayah Kemajuan Iskandar. Itu adalah aset-aset yang nyata dan boleh dilihat, katanya.


PEMBELIAN SENJATA

Apa yang berlaku sekarang ialah terdapat peralihan daripada peperangan anti insurgensi kepada yang lebih konvensional.

Ini memang tepat untuk Malaysia yang mana pemodenan angkatan tentera timbul daripada keperluan negara untuk melindungi hak-haknya.

"Bila kita menentang komunis, ancaman adalah dari dalam dan bukan dari luar. Ketika itu kita tidak perlu jet pejuang kerana helikopter adalah lebih sesuai.

"Sekarang, situasinya lain. Kita perlu jaga perairan dan ruang udara negara. Jadi banyak keperluan untuk kelengkapan yang dahulunya kita tiada," kata Dr Tang.

Tiada situasi yang menunjukkan sebarang "aksi dan reaksi" negara Asia Tenggara yang lain terhadap pembelian senjata oleh Malaysia.

Kata Dr Tang, kegusaran mungkin ada, tetapi ini masih jauh dari situasi yang mana negara-negara rantau Asia Tenggara menganggap masing-masing sebagai "musuh".


KENAPA KAPAL SELAM PENTING?

Kehadiran kapal selam adalah penting kerana Malaysia mempunyai sempadan perairan yang luas.

Selat Melaka merupakan laluan perkapalan antarabangsa yang penting manakala perairan Sabah mudah untuk dibolosi, kata Dr Tang.

Dengan adanya kapal selam, ia memberi pilihan yang lain bagi keupayaan ketenteraan negara terutamanya jika berlaku konflik.

Walaupun dalam masa aman, kapal selam boleh digunakan untuk aktiviti meninjau, kepungan laut serta pengumpulan maklumat, kata Dr Tang.

"Dengan adanya kapal selam, sesebuah negara akan mempunyai kelebihan strategik. Contohnya, Malaysia mempunyai aset bawah laut seperti kabel-kabel tenaga serta paip minyak dan gas. Bila negara mempunyai aset mahal bawah permukaan laut, ia perlu dilindungi dan pastikan sabotaj tidak berlaku.

"Jika tidak, kita akan terdedah pada serangan dan pengganas. Dalam hal ini, kehadiran kapal selam memberikan kita kelebihan strategik," kata Dr Tang.


KELENGKAPAN STRATEGIK

Kebelakangan ini Malaysia banyak membeli jet pejuang, kapal serta kelengkapan ketenteraan yang lain. Apakah ini ada kena mengena dengan keperluan strategik?

"Ia menunjukkan betapa pentingnya zon eksklusif ekonomi kita, dan tidak boleh dilindungi dengan hanya tentera darat. Fokus strategik kita memerlukan kawalan serta mempertahankan kedaulatan udara dan laut negara," kata beliau.

Menurut Dr Tang, Malaysia berpuas hati dengan sempadannya yang ada sekarang.

Dasar negara adalah sikap bertolak ansur serta bekerjasama, kata beliau lagi.

"Kapal selam ini dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet. Ia sangat mahal dan tidak akan sewenang-wenangnya digunakan terhadap mana-mana kapal, lanun atau bot haram."


MEMPERTINGKATKAN KEUPAYAAN TENTERA LAUT

Dengan adanya kapal selam, keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia telah dipertingkatkan.

"Ini membawa dimensi baru terhadap keupayaan pertahanan serta perkiraan strategik negara.

Ia juga satu cabaran kepada TLDM. Menjadi askar atas kapal memang lain daripada menjadi tentera kapal selam.

"Tentera kapal selam memerlukan ketahanan mental yang luar biasa. Ia menuntut pengorbanan psikologi. Cuba bayangkan anda berada dalam kapal selam selama tiga bulan, tiada cahaya matahari, tiada perhubungan dengan dunia luar.

"Ini merupakan satu ujian mental yang hebat. Tiada ruang untuk berlaku kesilapan bagi kakitangan kapal selam," kata beliau.

Tuntutan latihan dan tenaga kerja berkualiti tinggi akan melonjak tentera laut ke tahap profesional yang lebih tinggi.


CABARAN

Sama ada suka atau tidak, rakyat Malaysia bukanlah pengembara laut kerana kita lebih berasaskan darat. Kita tiada tradisi maritim, kata Dr Tang tetapi masih ada ruang untuk meningkatkan kemampuan dan membangunkan tradisi.

Beberapa penganalisis barat tidak yakin dengan keperluan negara Asia untuk memiliki kapal selam dengan alasan kebanyakan negara Asia Tenggara cuba memodenkan tentera lautnya tanpa sokongan infrastruktur dan logistik yang kukuh.

"Semua orang bermula dari kosong, tiada siapa yang membangunkan perkara ini dalam masa sehari. Ini adalah langkah sulung Malaysia ke arah mempertahankan kestabilan, keselamatan dan kemakmuran perairan rantau ini.

"Untuk mengatasinya kita boleh adakan kolaborasi ataupun latihan bersama dengan negara lain," kata Dr Tang.

Walau bagaimanapun, dua kapal selam sahaja belum cukup, kata Dr Tang.

Dalam perkiraan konvensional, untuk menjadi efektif, sesebuah negara memerlukan satu kapal selam yang didedikasikan sepenuhnya untuk latihan, apatah lagi jika ia baru untuk negara itu.

"Secara idealnya, di Amerika Syarikat mereka akan mempunyai satu kapal terbang yang berehat untuk diservis, latihan dan seumpamanya. Satu lagi untuk kembali ke pengkalan dan satu lagi dalam transit dari pengkalan ke kawasan rondaan. Jadi ada yang menjaga kawasan tersebut pada setiap masa," katanya.

Sungguhpun begitu, kapal selam sangat mahal dan Malaysia mengambil langkah pertama yang tepat.


Oleh Soraya Jamal
Bernama