Ahad, 18 November 2007

Kahwin, cerai ekspres di Batam


Lelaki Singapura pilih nikah di pulau 'hiburan'


SINGAPURA: Pulau Batam, Indonesia, tidak hanya menjadi syurga hiburan bagi warga Singapura, tetapi kini menjadi tumpuan ramai pasangan republik itu untuk berkahwin, termasuk kalangan suami yang mahu menambah isteri.

Sebelum ini, daerah Golok, di Selatan Thailand, adalah pilihan suami warga Singapura yang mahu berkahwin lagi tanpa persetujuan isteri pertama.

Akhbar Berita Harian melaporkan semalam, seorang janda anak dua mengaku menikah secara sulit dengan kekasihnya yang mendakwa dalam proses cerai di sebuah kampung setinggan di Batam.

Pernikahan itu dijalankan oleh seorang imam masjid di kampung itu dengan wanita berkenaan berwali hakim.

Pengakuan kerani akaun itu menunjukkan Batam kini tempat alternatif bagi nikah secara sulit. Janda mualaf yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam, 30 tahun, menyatakan, suaminya yang hanya dikenali sebagai Nal, 39 tahun, mempunyai dua anak dan pernah keluar masuk pusat tahanan.

Dia jatuh cinta dengan Nal yang bekerja sebagai buruh kasar di tempat kerja yang sama Ogos, tahun lalu.

"Nal ajak nikah di Batam kerana mudah dan tak perlu keluar banyak belanja. Keluarga kenalan saya juga sanggup carikan pak imam untuk nikahkan kami. Saya tak kisah, asal nikah," kata janda bertubuh montel itu.

Dia mengakui yang mas kahwinnya cuma wang tunai S$200 (RM465). Upacara yang diikuti dengan bertukar cincin platinum itu, amat ringkas dan mereka membayar AS$150 (RM349) kepada imam atas khidmat ekspres itu.

Imam kemudian memberi mereka sijil nikah tetapi berbeza dengan buku nikah rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa agama pulau itu.

Mariam mengakui pernikahan mereka tidak boleh didaftarkan di Batam kerana kedua-duanya warga asing. Memburukkan lagi keadaan, dia juga sedar pernikahan itu tidak diiktiraf di Singapura.

- Agensi