Geng perompak kelaparan’ akan melahap semua makanan di rumah mangsa, setiap kali melakukan rompakan hingga menimbulkan pelbagai spekulasi
KUCHING: Dalam tiga kejadian rompakan bersenjata yang berlaku di tiga buah rumah berasingan bulan lalu, para perompaknya bukan sahaja melarikan wang tunai, barangan kemas dan harta-benda tetapi turut menghabiskan makanan di dapur mangsa.
Adakah mereka benar-benar lapar ataupun ia adalah sebahagian daripada amalan yang perlu dilakukan oleh perompak bagi menjayakan ilmu pukau mereka setiap kali melakukan rompakan?
Sekumpulan lelaki terdiri daripada tiga hingga empat orang menyerbu masuk ke sebuah rumah dengan bersenjatakan pisau serta parang dan menyembunyikan muka mereka dengan baju yang diikat lalu mengugut dan merompak mangsanya.
Selepas merompak mangsanya, tanpa segan-silu mereka membuka ikatan baju yang dijadikan topeng muka lalu mula memasak di rumah mangsa dan melahap segala makanan yang sudah dimasak ataupun yang boleh terus dimakan. Tiada yang ditinggalkan untuk empunnya rumah.
Adakah mereka benar-benar kelaparan selepas penat menyelongkar rumah dan merompak mangsa mereka menyebabkan mereka menghabiskan semua makanan yang ada di rumah mangsa hingga diberi gelaran ‘geng perompak kelaparan’.
Atau ia adalah tuntutan ilmu hitam yang perlu diamalkan jika mahu rompakan mereka berjaya?
Pelbagai andaian dibuat berhubung perkara itu, malah tidak kurang juga yang mendakwa ia adalah sebahagian daripada amalan ilmu sihir yang digunakan oleh saspek untuk memantapkan lagi ‘kuasa’ mereka ketika melakukan jenayah.
Sebelum ini, pernah berlaku kejadian kumpulan perompak yang memecah masuk rumah mangsa bertindak membuang air besar di ruang tamu yang kononnya dapat memujarapkan ilmu pukau mereka.
Justeru, Utusan Borneo berusaha untuk mengupas sejauh mana kebenaran andaian berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Supt William Poro berkata polis mempunyai pelbagai teori berhubung modus operadi kumpulan saspek yang bertindak makan di rumah mangsa.
Menurutnya, beliau tidak menolak perkara itu mungkin sebahagian daripada kepercayaan dan amalan mereka, atau memang saspek-saspek itu benar-benar dalam keadaan kelaparan ketika melakukan rompakan.
“Secara teori, kumpulan penjenayah ini mungkin bersembunyi pada siang hari sementara menunggu peluang melakukan jenayah di sebelah malam bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Jadi, apabila keluar melakukan jenayah pasti mereka berada dalam keadaan yang benar-benar kelaparan. Lantas peluang untuk makan di rumah mangsa akan digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan kumpulan saspek terdiri daripada warga asing.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa polis akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu sehingga saspek yang terlibat berjaya diberkas.
Bomoh, Sudin Hashim, 69, berpendapat beliau tidak menolak andaian perompak yang sempat makan di rumah mangsa adalah mereka yang mengamalkan ilmu pukau.
“Walaupun di negeri kita (Sarawak) tidak banyak pengamal ilmu pukau… tetapi mereka (perompak) mungkin menuntut di negara jiran yang dipercayai banyak pengamalnya.
“Saya percayai ilmu pukau kerana berdasarkan tempoh perompak yang berada di rumah mangsa hampir setengah jam… tentunya kita merasai sesuatu yang tidak kena pada mangsa,” katanya.
Beliau mempercayai ilmu pukau kerana mengakui mangsa rompakan sudah terkena pukau sehinggakan tidak menyedari barangan habis dikebas perompak.
Beliau menjelaskan, kalaulah perompak itu tidak menggunakan ilmu pukau mengapa mangsa yang mempunyai anggota keluarga ramai tidak mampu berbuat apa-apa walaupun hanya seorang bertindak?
Justeru, katanya, memang ilmu pukau yang dipasang salah seorang daripada perompak itu mampu ‘memperbodohkan’ mangsa dan mereka terus bermaharajalela di rumah itu.
Sudin juga menarik perhatian, perompak yang makan di rumah mangsa adalah salah satu syarat mereka dalam menggunakan ilmu pukau itu.
Bersandarkan kepada kebanyakan kes yang dilaporkan kebelakangan ini ‘geng perompak kelaparan’ sering ‘menganas’ di kawasan Petra Jaya.
Sehubungan itu, Utusan Borneo cuba mendapatkan komen daripada Ketua Balai Polis Gita, Ketua Inspektor Abang Zainal Abidin.
“Ini tiada kaitan dengan ilmu pukau kerana kebanyakan mereka yang menjadi mangsa menyedari rumah mereka dimasuki perompak, cuma mereka tidak berpeluang untuk melawan kerana khuatir dengan keselamatan diri dan keluarga,” jelasnya.
Zainal berkata, saspek bertindak makan makanan mangsa kerana juadah bersahur telah tersedia di atas meja.
“Sesetengah mangsa yang ditemui memberitahu, mereka pernah terlihat kereta saspek mundar-mandir di halaman rumah mereka tetapi tidak melaporkan kepada polis, manakala sebahagian lagi kes perompak juga mengunakan gelebar untuk memecah pintu … mustahil mangsa tidak sedar dari tidur,” ujarnya.
Ditanya mengapa Petra Jaya yang menjadi sasaran, Zainal memberitahu ia kerana kawasan itu yang paling selamat.
“Sebelum ini jarang berlaku kes begini di kawasan kami. Lantas masyarakat merasakan keselamatan mereka terjamin dengan kehadiran anggota yang sentiasa melakukan rondaan.
“Tetapi, adakalanya keselesaan ini menyebabkan segelintir daripada masyarakat lalai dengan kemungkinan-kemungkinan penjenayah akan dan sedang menunggu peluang berikutan kelalaian mereka ini,” tambahnya.
Sementara itu, pujian wajar diberikan kepada Zainal kerana komitmen beliau dalam menangani masalah jenayah di kawasan yang berkeluasan 382 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk seramai 276,000 orang.
Dengan kekuatan 28 anggota, Balai Polis Gita bertanggungjawab memastikan keamanan 276,000 penduduk yang menghuni 153 taman perumahan dan 78 buah kampung dalam kawasan seluas 382 kilometer persegi.
“Bagaimanapun, masalah kekurangan anggota tidak sedikit pun mematahkan semangat kami untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan, bahkah rondaan cegah jenayah dilakukan empat kali seminggu dan operasi bersepadu pula tiga kali seminggu,” katanya.
Mengulas mengenai indeks jenayah yang dilaporkan di Balai Polis Gita, Zainal menjelaskan purata sepuluh hingga 15 kes jenayah diterima sehari dengan kes pecah rumah mencatat aduan tertinggi.
- Borneo Post