Khamis, 29 November 2007

Bollywood kempen anti-HIV/Aids



Farhan Akhtar


Mira Nair


Santosh Sivan


Vishal Bhardwaj

PANAJI: Empat filem pendek yang dihasilkan pengarah terkenal Bollywood untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV/Aids di negara itu akan disiarkan dalam laman web YouTube Februari ini selepas ditayangkan di televisyen.

Projek sepanjang 18 minit arahan Mira Nair, Santosh Sivan, Farhan Akhtar dan Vishal Bhardwaj juga akan ditunjukkan pada tayangan yang dirancang untuk ahli perundangan persekutuan pada Hari Aids Sedunia esok.

“Penyiaran di YouTube dilakukan Februari ini selepas menyiarkannya di televisyen. Sambutan di televisyen pasti hebat dan kami berharap dapat bekerjasama dengan pawagam untuk siaran khas kepada pelajar sekolah dan penuntut kolej,” kata penerbit Shernaz Italia sambil menambah badan bukan kerajaan dibenarkan membuat salinan.

India memiliki kes ketiga terbesar dunia penduduk yang menghidap HIV/Aids dan diskriminasi terhadap pesakit berleluasa.

Filem pendek dengan bajet rendah itu, yang dibiaya oleh Yayasan Bill & Melinda Gates, juga akan ditayangkan di pawagam India sebelum penayangan filem Bollywood.

- Reuters