Khamis, 29 November 2007

Edar Viagra untuk raih undi


BANGKOK: Pembelian undi memang amalan lama dalam politik Thailand tetapi seorang calon dalam pilihan raya Disember ini dilaporkan menggunakan taktik baru - mengedarkan Viagra, bukan wang bagi mendapatkan undian.

Dakwaan itu, yang dibuat semalam oleh pekerja kempen terhadap parti saingan, muncul ketika peraturan mengenai pemberian sagu hati kepada pengundi menjadi lebih ketat, malah melarang pengedaran baju dan minuman ringan percuma.

Ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP) di wilayah Pathum Thai di utara Bangkok, Sayan Nopcha, berkata ubat merawat mati pucuk itu diedarkan kepada pengundi lelaki yang sudah tua di majlis sosial.

Viagra sepatutnya digunakan dengan nasihat doktor saja tetapi mudah diperoleh di Thailand.

“Ahli politik mengedarkan Viagra untuk meraih populariti dan undian. Saya rasa ini adalah cara paling teruk dalam pembelian undi,” kata Sayan, pegawai kerajaan tempatan yang abangnya adalah calon PPP.

Dia tidak mendedahkan identiti calon yang didakwa mengedarkan pil itu. Menurut undang-undang tegas baru, pemberi dan penerima pembelian undi boleh berdepan dakwaan jenayah.

Calon boleh disingkirkan dan parti mereka dibubarkan, seperti kes undang-undang lama manakala pengundi yang menerima wang atau hadiah kini berdepan hukuman setahun hingga 10 tahun penjara.

Lebih 4,200 calon dari 41 parti bertanding merebut 480 kerusi Dewan Rakyat di Parlimen pada pilihan raya 23 Disember ini.

- AP