JAKARTA: Sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Indonesia yang berpakaian tradisi berwarna-warni mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia semalam mendakwa Kuala Lumpur mempromosikan tarian Indonesia sebagai milik sendiri.
Kemarahan terhadap tarian bertopeng itu berlaku tidak lama selepas isu lagu yang digunakan Malaysia dalam kempen pelancongan 'Truly Asia' menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia yang percayakan lagu terbabit adalah milik asal negara mereka.
Penunjuk perasaan semalam mendakwa Malaysia mempromosikan tarian bertopeng Jawa yang dikenali sebagai Reog Ponorogo sebagai seni tradisi mereka dalam kempen pelancongan.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia menggunakan tarian tradisi Melayu dikenali sebagai Barongan dalam iklan pelancongannya sama dengan tarian Indonesia memaparkan lelaki memakai kepala harimau dan topeng bulu merak sambil diiringi akrobat.
Perhimpunan di luar kedutaan di Jakarta kelihatan seperti karnival berbanding tunjuk perasaan apabila mereka memakai kostum tradisi sambil mempersembahkan tarian Reog.
"Malaysia pencuri?" antara poster yang dibawa penunjuk perasaan terbabit.
Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Zain memberitahu penunjuk perasaan terbabit bahawa Malaysia tidak pernah mendakwa Barongan berasal dari negara mereka.
Zainal Abidin memerlukan hanya tiga minit untuk menyuraikan demonstrasi itu sebelum itu berkobar-kobar dan kononnya akan berlangsung satu tindakan nekad di hadapan kedutaan.
"Saya jelaskan di sini Kerajaan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Reog itu berasal dari Malaysia walaupun tarian itu ada di Johor dan Selangor," katanya dengan menggunakan alat pembesar suara.
- Bernama/Reuters