Rabu, 14 November 2007

Malaysia, Iran Dan Turki Rancang Keluarkan Kereta Berciri 'Islam'


TEHRAN, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia bersama-sama Iran dan Turki merancang untuk mengeluarkan kereta yang bercirikan Islam untuk pasaran global, demikian menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Kereta hasil cetusan ilham Iran, yang dicadangkan itu dijangka bercirikan Islam seperti mempunyai kompas, petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan Al-Quran dan tudung.

"Iran mahu memanggilnya "kereta Islam," kata beliau kepada Bernama di luar acara majlis makan malam anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di sini malam tadi.

"Mereka telah mengenal pasti dan mencadangkan tiga negara iaitu Iran, Malaysia dan Turki. Kenapa ketiga-tiga negara ini? Saya rasa ini kerana mereka negara pengeluar automotif," katanya.

Majlis makan malam itu diadakan sempena lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Affendi Norwawi, ke Iran.

Menteri berkenaan mengetuai delegasi 40 anggota yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan perwakilan dari syarikat swasta yang melawat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran mulai 5 hingga 11 Nov.

Objektif rombongan berkenaan ialah untuk mengenal pasti potensi peluang perniagaan yang luas untuk syarikat Malaysia.

Ia juga untuk meneroka kemungkinan usaha sama antara syarikat Malaysia dan di Timur Tengah serta untuk menarik pelaburan dari Timur Tengah ke dalam pembangunan koridor ekonomi Malaysia.

Wakil dari Proton, Petronas, Khazanah Nasional Bhd, MDeC, UEM Group Bhd, Zaid Ibrahim & Company, dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (LPWI) merupakan antara yang menyertai rombongan berkenaan.

Menurut Syed Zainal, cadangan kereta bercirikan Islam itu akan merupakan peluang yang baik untuk mereka yang terlibat.

"Kami akan mengenal pasti kereta yang kami boleh bangunkan itu dikeluarkan di Malaysia, Iran atau Turki," katanya.

"Kereta itu akan mempunyai semua ciri-ciri Islam dan untuk tujuan eksport," katanya.

Syed Zainal berkata dengan sokongan kerajaan, pengeluar kereta Islam akan mampu menerima jumlah tempahan yang besar.

"Bagi Proton, kami gembira kerana kami mempunyai produk yang boleh dikongsi. Bagi kami, cadangan berkenaan akan mempunyai kelebihan kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pembangunan dan mendorong peningkatan pengeluaran serta menghasilkan ekonomi bidangan," katanya.


Daripada Tengku Noor Shamsiah
- BERNAMA