Rabu, 14 November 2007

Burung dulu di tanah


Kaki Theropod (burung pada zaman dinosaur)


Selama lebih sekurun, saintis berdebat tentang bagaimana burung hidup pada zaman dahulu. Adakah ia melata di tanah seperti ayam belanda atau merayap di pokok atau terbang di langit seperti kebanyakan burung pada hari ini.

Terbaru, kajian menunjukkan burung pada zaman dahulu mungkin lebih memilih untuk hidup di atas tanah.

Dalam tempoh 15 tahun ini, pengkaji telah menemui fosil dinosaur berharga yang boleh menyelesaikan kontroversi ini sekali gus mampu membongkar lebih banyak lagi mengenai hidupan burung pada zaman 150 juta tahun lalu.

"Makhluk yang ditemui ini dipercayai mempunyai bulu dan sedang membentuk sayap dan paruh," kata pakar fungsi anatomi, Christopher Glen dari University of Queensland, Australia.

Pada mulanya, Glen dan rakan sekerjanya, Michael Bennett memerhatikan kaki-kaki burung dari 249 spesies burung moden. Mereka mendapati bahawa lebih mencengkam kukunya, seperti burung belatuk misalnya, lebih cenderung untuk burung tersebut memilih berada di atas pokok.

"Ini kerana kuku yang lebih melengkung akan membolehkan mereka bertenggek lebih kuat di atas pokok," jelas Glen.

Saintis kemudian melihat pula sejauh mana melengkungnya kuku burung terawal dan dinosaur menyerupai burung. Kesemuanya mempunyai kuku yang lebih lurus seperti burung moden yang biasa di tanah seperti ayam belanda, burung unta atau kasuari.

"Saya sebenarnya berharap untuk menemui sesuatu yang berlainan. Sebelum ini, saya fikir senario berada di atas pokok lebih masuk akal. Di mana burung kemudiannya mula meneroka 'penerbangan' dengan melompat dari satu pokok ke satu pokok yang lain," kata Glen.

Glen turut tidak menolak bahawa banyak juga di kalangan burung moden yang tidak tinggal di darat sahaja atau di pokok sahaja, sebaliknya banyak yang tinggal pada kedua-dua tempat itu. Jadi, tidak mustahil untuk burung zaman awal dahulu tinggal di kedua-duanya.

"Kami tidak mengatakan yang kami boleh merungkaikan segala kisah tentang burung dan bagaimana ia mula terbang hanya berasaskan satu anatomi.

"Tetapi, kuku mereka mencadangkan bahawa burung lebih banyak menghabiskan masa di tanah," ujarnya.

Hasil kajian Glen dan Bennet ini diperincikan dalam jurnal Current Biology.


Kosmo!