Rabu, 14 November 2007

Tiga lagi planet ditemui


Tiga lagi planet baru telah berjaya ditemui oleh sekumpulan ahli astronomi termasuk seorang pengkaji dari Universiti St. Andrews, Scotland.

Kamera berkuasa tinggi di Afrika Selatan dan di kepulauan Canary menemui planet-planet tersebut yang dijangkakan bersaiz Musytari.

Mereka menamakannya WASP-3, WASP-4 dan WASP-5. Ahli-ahli astronomi yang membuat penemuan itu berkata, planet-planet berkenaan berada dalam galaksi kita tetapi tidak mengorbit matahari.

Prof. Andrew Collier Cameron dari universiti berkenaan menjangkakan saiznya, berasaskan kepada perubahan cahaya bintang-bintang yang berjiran dengannya.

Planet-planet tersebut sangat hampir dengan bintang-bintang yang diorbitnya dan 'setahunnya' kurang daripada dua hari di bumi.

Collier Cameron berkata: "Ia adalah antara tempoh mengorbit yang paling pendek antara planet-planet yang telah ditemui.

"Terlalu hampir dengan bintang-bintang mereka, suhu permukaan planet-planet berkenaan tentunya lebih daripada 2,000 darjah Celcius, jadi tidak mungkin ada makhluk yang boleh hidup di situ."

Planet-planet baru itu dinamakan bersempena nama kumpulan yang menemui mereka Wide Area Search for Planets (WASP).

Setakat ini, kira-kira 200 planet yang mengorbit bintang-bintang yang lain, selain matahari telah ditemui ahli astronomi.

Universiti St. Andrews telah bergabung bersama dua universiti lain untuk membiayai program mencari planet ini.

Dr. Coel Hellier, dari Universiti Keele berkata: "Kita boleh gunakan planet-planet ini untuk mengkaji bagaimana sistem suria terbentuk.


Kosmo!