Selasa, 6 November 2007

Manusia purba berambut merah


Sesetengah daripada manusia purba Neanderthal mungkin mempunyai rambut berwarna merah dan berkulit cerah, amat menyerupai manusia moden yang berasal dari negara-negara Celtic di barat Eropah. Demikian menurut satu kajian baru-baru ini.

Penemuan tersebut datangnya daripada analisis DNA yang diambil daripada fosil Neanderthal yang diperoleh dari Sidron di utara Sepanyol dan Monti Lessini, Itali.

Analisis DNA itu mendedahkan bahawa manusia purba tersebut membawa mutasi dalam gen MC1R yang membawa kod sejenis protein yang terlibat dalam penghasilan melanin.

Melaninlah yang memberikan warna pada kulit dan memelihara kulit daripada sinaran ultra ungu.

Dalam manusia moden, terutamanya keturunan Eropah, mutasi pada gen MC1R itulah yang dipercayai bertanggungjawab menjadikan rambut mereka merah dan kulit mereka pucat.

Mutasi tersebut yang diperhatikan pada gen Neanderthal bagaimanapun berlainan daripada yang didokumentasikan pada manusia tetapi apabila saintis memasukkan gen Neanderthal kepada sel-sel dalam tabung uji, ia kelihatan mempunyai efek yang sama dengan gen manusia moden, menurut kajian disiarkan oleh jurnal Science.

Analisis gen itu tidaklah muktamad, tetapi memandangkan rekod fosil mengenai Neanderthal tidak memasukkan apa-apa sampel kulit atau rambut maka ia boleh dijadikan panduan, kata Michael Hofreiter, seorang ahli paleontologi di Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology Leipzig, Jerman.

Hofreiter tidak menolak jika bilangan Neanderthal berambut merah itu sebenarnya tidak banyak dan mungkin hanya satu peratus daripada populasi.

Bagaimanapun, ia tidaklah hanya terikat pada beberapa kumpulan etnik sahaja dan oleh itu, manusia purba rambut merah itu mungkin terdapat di mana-mana bahagian di Eropah atau Asia di mana Neanderthal menetap.

Neanderthal tinggal di Eropah dan sebahagian Asia sehingga kira-kira 30,000 tahun yang lalu.
Kosmo! 1 November 2007