Selasa, 6 November 2007

Tenaga biofuel bukan keutamaan


Ketika sumber tenaga biofuel daripada minyak sawit dilihat oleh banyak pihak termasuk kerajaan Malaysia dan Indonesia yang menguasai produksi minyak sawit dunia sekarang sebagai sumber tenaga alternatif, seorang pakar alam sekitar Indonesia mempunyai pendapat yang berbeza.

Emil Salim, pakar alam sekitar Indonesia yang mengaitkannya dengan kesan terhadap pemanasan global berkata, tenaga biofuel seharusnya diberikan keutamaan terendah selepas semua sumber tenaga lain diusahakan sepenuhnya.

Biofuel harus diletakkan sebagai keutamaan paling rendah selepas sumber tenaga lain seperti panas matahari, angin dan sungai diusahakan, katanya pada perbincangan mengenai pemanasan global anjuran Universiti Paramadina di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Emil yang juga anggota Dewan Pertimbangan (Penasihat) Presiden berkata, ini kerana biofuel berasal daripada sawit yang memerlukan tanah yang luas untuk menanamnya, sedangkan Indonesia perlu menyelamatkan tanahnya untuk tanaman makanan.

Walaupun Indonesia merupakan negara kepulauan yang luas, namun tanahnya secara relatif lebih kecil berbanding keluasan lautannya.

"Tanah di Indonesia seharusnya diselamatkan untuk kegunaan mencukupkan bahan makanan," kata Emil yang juga bekas Menteri Kependudukan dan Alam Sekitar Indonesia.

Beliau kecewa kerana ladang sawit di negara yang mempunyai penduduk seramai 230 juta orang dibuka dengan menebang hutan dan tidak ditanam di tanah terbiar.

Sementara itu, jurucakap pertubuhan Greenpeace untuk kempen iklim dan tenaga Asia Tenggara, Nur Hidayati yang mempunyai pandangan yang sama berkata, penggunaan biofuel untuk sumber tenaga pada masa depan hanya akan mempercepatkan kerosakan hutan di Indonesia.

Katanya, permintaan minyak kelapa sawit yang banyak daripada negara maju seperti Eropah untuk dijadikan sumber tenaga biofuel akan mempercepat kerosakan hutan rimba di rantau ini kerana ia mendorong lebih banyak tanah gambut dibersihkan dengan cara pembakaran seperti yang terjadi di wilayah Riau dan Kalimantan.


Bernama