Khamis, 29 November 2007

Miskin Bukan Sebab Untuk Putus Asa

Antara kita, ada yang bernasib baik kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam kemewahan dan penuh kesenangan. Dalam pada itu, ada juga yang kurang bernasib baik dan malang serta berdepan dengan pelbagai permasalahan, bak kata ungkapan, "sudahlah jatuh, ditimpa tangga".

Pada malam sebelum Hari Raya Aidilfitri lepas, sebuah syarikat televisyen swasta telah menayangkan telemovie "Bila Takdir Berbisik". Cerita yang sungguh menyentuh perasaan tentang seorang lelaki yang telah lumpuh dari paras pinggang ke bawah menunjukkan sikap putus asa untuk terus hidup. Bagi P. Letchumy, 30, hidup tidak pernah senang.

Lapan belas bulan lepas, Letchumy telah melahirkan seorang anak lelaki tetapi kegembiraan beliau dan suaminya, A. Kandiah, bertukar menjadi kesedihan bila bayi itu mempunyai kecacatan kongenital. Keadaan ini dinamakan 'hydrocephalus', kata Dr Zaidatul Azreen Dzulkifli, salah seorang doktor yang merawat bayi tersebut yang telah dimasukkan ke wad pediatrik sebuah pusat perubatan awam di sini.


KEHENDAK TUHAN

Menurut Dr Azreen, keadaan ini berlaku bila sutur-sutur di kepala bayi gagal bercantum pada masa kelahiran, menyebabkan cecair cerebrospinal mengalir ke bahagian luar tengkorak. Situasi ini disebabkan oleh tengkorak tidak terjadi sepenuhnya, menyebabkan kepala anak malang ini menjadi besar, kata beliau.

Letchumy yang bercakap dalam bahasa Malaysia secara tergagap-gagap berkata: "Hidup banyak susah, tada senang. Ini Tuhan juga mahu anak saya jadi ini macam". Suaminya, yang bekerja sebagai buruh, tidak banyak berkata-kata. Kandiah hanya dapat melawat anaknya pada lewat petang kerana bekerja dengan mendapat upah cuma RM20 sehari.

Anaknya telah keluar masuk hospital berkali-kali. Bayi itu tidak dapat bergerak kerana keadaannya dan memerlukan penjagaan setiap masa. "Hospital punya bayar ada orang tolong," kata suri rumah tersebut yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.


MALANG BERTIMPA

Letchumy, yang mengandung lima bulan, juga mengalami satu masalah lain. Ibu muda ini telah diberitahu doktor yang beliau mempunyai diabetes dan darah tinggi di luar kawalan. Lantaran itu beliau perlu rawatan dalam wad.

"Sapa mau jaga anak, kalau saya masuk hospital. Keluarga sini tada". Tetapi langit tidak selalu gelap buat Letchumy.

Disebabkan beliau dikehendaki tinggal di wad di hospital yang sama dengan anaknya, beliau masih boleh melawat dan menjaga anaknya dalam masa rawatan. "Kami kenal bayi ini kerana beliau telah dimasukkan ke sini beberapa kali. Kita akan sentiasa menjaganya," kata Noraini Sapiron, salah seorang jururawat di wad kanak-kanak tersebut.


MISKIN, YA. PUTUS ASA? TIDAK

Bagi Letchumy dan suaminya, biarpun dibelenggu kemiskinan, mereka masih cekal untuk meneruskan kehidupan.

Satu petang, setelah anak mereka hampir kehabisan lampin pakai buang, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke sebuah pusat membeli belah yang letaknya 15 km jauh dari pusat perubatan itu untuk membeli barangan tersebut.

Menurut Letchumy semua pemandu teksi yang mereka tahan mahukan tambang tanpa meter sebanyak RM20. Lantaran itu, pasangan Letchumy dan Kandiah terus berjalan kaki dari hospital yang terletak di Jalan Universiti, Petaling Jaya, menuju ke pusat membeli belah itu yang terletak di tepi Lebuhraya Persekutuan.

Para doktor, jururawat dan pekerja sosial di pusat perubatan tersebut begitu kagum dengan semangat kental yang ditunjukkan oleh pasangan itu yang tidak menyerah kalah kepada belenggu kesusahan yang sentiasa mencengkam hidup mereka.

"Mungkin mereka miskin, tetapi mereka tidak mudah putus asa seperti ibu bapa lain yang membuat keputusan meninggalkan anak mereka yang dilahirkan cacat," kata Dr Azreen. Mereka yang bersimpati dengan pasangan ini telah menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan. Pasangan itu juga menerima lawatan pekerja sosial yang memberikan mereka kaunseling.

"Hidup susah tapi mesti mau terus hidup. Kita tada boleh kalah," kata ibu muda itu.

Itulah apa yang perlu dicontohi rakyat Malaysia yang lain yang hidup di bumi bertuah ini.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Bernama