KUALA KEDAH - Selepas penyakit ganjilnya gagal dikesan oleh perubatan moden, keluarga Nur Atikah Abdullah kini terpaksa merujuk kes anak gadis mereka itu yang mengeluarkan beberapa objek seperti paku, skru dan ketulan garam dari badannya, kepada rawatan tradisional.
Seorang pengamal perubatan tradisional, Zahari Ramli yakin gadis itu boleh dipulihkan dalam masa seminggu.
"Ini bukan kes buatan orang," kata beliau yang juga seorang pekerja swasta dari Bandar Perda, Pulau Pinang ketika merawat Nur Atikah, 13, di rumah pesakit itu di Taman Kota Nelayan, di sini semalam.
Keadaan Nur Atikah sebelum ini dilaporkan masih tidak berubah sejak dua bulan lalu walaupun sudah beberapa kali membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HBS).
Akibatnya, keluarga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan semakin buntu.
Zahari yang sudah 20 tahun merawat pesakit, mengetahui kisah penderitaan Nur Atikah selepas membacanya dalam KOSMO!
"Saya ingin beri rawatan percuma kerana pesakit itu dari keluarga miskin," katanya.
Dalam pada itu, Nur Atikah yang agak lesu selepas menjalani rawatan berkata, badannya tidak mengalami kesakitan tetapi kesejukan di kakinya.
Oleh Zaid Mohd. Noor dan Nan Hidayat Nan Azmie
Kosmo 9 November 2007