Jumaat, 9 November 2007

Remaja tanggung derita objek ganjil keluar dari badan

ALOR STAR 30 Okt. – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah di sini terpaksa menanggung derita kerana seluruh badannya sentiasa mengeluarkan cecair seakan darah dan pelbagai objek termasuk butiran garam dan paku payung.

Nur Atikah Abdullah mendakwa, ekoran kejadian pelik itu, dia terpaksa menanggung kesakitan setiap hari ketika cecair dan objek-objek berkenaan keluar dari badannya.

Pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan di sini memberitahu, kejadian misteri itu pernah menyerangnya pada Februari tahun lalu tetapi hilang selepas dia mendapatkan rawatan tradisional.

Bagaimanapun, dakwa remaja tersebut, ia kembali menyerang pada awal Ramadan lepas apabila kulitnya mula mengeluarkan cecair seakan darah.

Kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu, keadaan menjadi semakin serius sejak tiga hari lalu apabila pelbagai objek seperti garam dalam pelbagai saiz, benang, kaki lipas dan skru keluar dari badannya.

Dalam kejadian terbaru pagi ini, dakwanya, sebatang paku payung sepanjang kira-kira lima sentimeter keluar dari dadanya pula.

KESAKITAN

“Cecair dan objek-objek berkenaan akan keluar tanpa mengira waktu. Ketika objek hendak keluar dari badan, saya berasa amat sakit namun kesakitan itu terus lenyap selepas objek-objek berkenaan keluar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sejak kejadian pelik tersebut menimpanya, Nur Atikah berkata, dia tidak dapat hadir ke sekolah menyebabkan dia ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, ibu remaja tersebut, Che Siah Haron, 55, berkata, dia tidak menyangka penyakit misteri berkenaan menimpa anaknya itu memandangkan ia tidak pernah berlaku kepada ahli keluarganya yang lain.

“Memang ia tidak masuk akal dan sukar dipercayai tetapi ia benar-benar berlaku dan saya melihat dengan mata saya sendiri,” ujarnya.

Menurut Che Siah lagi, anaknya itu sudah serik untuk membuat pemeriksaan di hospital kerana tahun lalu doktor yang memeriksanya tidak menemui sebarang keganjilan.


Sehingga kini, menurutnya, dia sudah mendapatkan khidmat tiga orang bomoh bagi mengubati penyakit Nur Atikah dan amat berharap dia akan sembuh segera.

Dia juga meminta bantuan mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan atau kebolehan untuk mengubati penyakit Nur Atikah itu supaya tampil membantu.

Oleh Shariza Abdullah
Utusan Malaysia 1 November 2007