Ahad, 18 November 2007

Peranan media mengurangkan salah faham


SATU tinjauan yang dibuat oleh KRA Group, sebuah firma perhubungan awam terkemuka baru-baru ini ke atas penyiaran berita dan rencana di dalam akhbar dan majalah di Indonesia menampakkan petanda bahawa hubungan dua hala Malaysia-Indonesia tidak boleh diambil mudah. Tinjauan itu dibuat ke atas 4,980 buah tulisan yang tersiar dari Mei hingga Oktober 2007 membabitkan 11 media cetak nasional, 23 media cetak setempat dan 11 tabloid dan majalah serta empat media online.

Dari sekian banyak tulisan yang diteliti, kurang dari lima peratus yang sebenarnya bernada positif. Selebihnya bermuat tulisan yang negatif terhadap negara ini. Tinjauan itu mendapati bahawa secara keseluruhan media Indonesia "memilih" untuk terbabit memainkan emosi warga Indonesia. Maka itu isu yang dibangkitkan cenderung pada soal yang boleh menyentuh perasaan rakyat Indonesia. Soal kecil seperti kejadian dalam satu pesta sukan, soal dua buah lagu popular dan tindakan pihak berkuasa ke atas pendatang tanpa izin (PATI) menjadi berita besar di media Indonesia.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa ada kalanya media Indonesia kurang memberikan peranan yang sepatutnya dilakukan oleh mereka - membuat kupasan mendalam, memberikan penjelasan lebih objektif apa lagi untuk menghujahkan secara rasional isu-isu berkaitan.

Bagi rakyat Malaysia, isu terbesar membabitkan warga Indonesia ialah kemasukan mereka secara haram ke negara ini. Juga pergantungan terhadap tenaga kerja dari luar, khususnya dari Indonesia. Mereka menyedari keperluan tenaga kerja dari Indonesia ini (istilah yang popular di Indonesia ialah TKI). Malah mereka mengakui peranan TKI dalam menyumbang pada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara ini. Tenaga kerja ini diperlukan dalam hampir semua sektor. Mereka menjadi pembantu rumah, pekerja di kedai, membuat ladang, membina bangunan dan macam-macam lagi.

Bilangan mereka juga tentulah ramai. Dari lebih dua juta orang asing di Malaysia, sudah pastilah bilangan paling ramai datangnya dari Indonesia. Secara tradisionalnya mereka lebih disenangi kerana bahasa dan budaya mereka. Tambahan pula gelombang kedatangan manusia dari Indonesia bukan baru. Malah banyak suku kaum yang berhijrah dari Indonesia kini telah menjadi sebahagian dari masyarakat arus perdana negara ini.

Maka itu apabila ekonomi Malaysia tumbuh dengan pesatnya dan tenaga kerja diperlukan untuk sektor pembinaan, pengeluaran, pembuatan dan perkhidmatan, TKI menjadi pilihan pertama. Kehadiran mereka dialu-alukan kerana rakyat tempatan enggan terbabit dalam kerja-kerja tertentu. Mungkin pilihan bagi rakyat tempatan lebih banyak atau orang tempatan, khususnya orang Melayu, lebih suka terbabit dalam kerja-kerja yang tidak menyukarkan.

Pada satu ketika, kedatangan TKI ini mencurah masuk tanpa kawalan. Malah sebahagian besarnya masuk secara haram. Kehadiran sebegitu ramai tenaga kerja asing tentunya membawa masalah yang tersendiri. Walaupun sebahagian besar daripada mereka bekerja dengan tekun dan mematuhi undang-undang, terdapat segelintir dari yang terbabit dalam kegiatan jenayah kecil dan besar. Malah imej keganasan yang mereka bawa menakutkan orang tempatan. Maka itu pelbagai suara didengar - dari desakan untuk menjalankan penangkapan beramai-ramai hinggalah cadangan dasar baru menangani masalah tenaga kerja asing ini.

Sayugia diingat bahawa isu yang membabitkan pendatang tanpa izin yang dibangkitkan oleh Presiden Umno dan juga Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2007 yang baru lalu membabitkan pendatang dari semua negara, bukan Indonesia saja.

Tiada siapa yang menafikan bahawa Malaysia menjadi tarikan TKI. Malah pergilah ke mana-mana kampung dan desa di Indonesia - rumah baru, kemewahan yang tertera dan potret kejayaan selalunya dikaitkan dengan mereka yang bekerja di Malaysia. Memang aliran pekerja ini membawa masalah sosial dan menjejaskan hubungan keluarga di Indonesia sendiri. Tetapi realitinya mereka berasakan Malaysia ialah harapan dan penyelamat dalam memajukan ekonomi keluarga masing-masing.

Sudah tentulah apa yang berlaku di sini mendapat perhatian rakyat dan media Indonesia. Media negara itu yang terlepas daripada kekangan kuku besi pemerintahan Presiden Suharto kini mendapat nafas baru. Kebebasan media menjadi mantra baru di Indonesia. Penguasaan media bermakna menguasai maklumat dan boleh mencorakkan kuasa. Media di Indonesia tidak pernah sehebat dan serancak ini dari segi tenaga dan kebebasannya.

Dalam situasi seperti inilah isu hubungan dua hala Malaysia-Indonesia akan mendapat perhatian luar biasa. Malah soal yang dianggap kecil dan remeh di Malaysia menjadi berita yang menarik dan besar di Indonesia. Alasannya mudah - hampir di setiap kebupaten dan desa di Indonesia, pasti ada keluarga yang bekerja di Malaysia.

Ambil saja kes "Ambalat". Di Malaysia, tidak banyak orang yang mengikuti apa yang berlaku di kawasan yang didakwa oleh kedua-dua negara sebagai milik mereka. Media di Malaysia membawakan liputan "seadanya" mengenai kejadian yang menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik pada tahun 2005. Tetapi di Indonesia, Ambalat membawa makna yang lebih besar. Ambalat bukan mengenai isu syarikat minyak Malaysia yang mencari gali di situ. Di Indonesia isunya ialah kedaulatan, maruah dan nama baik. Sesiapapun yang berada di Indonesia pada awal tahun 2005 itu percaya bahawa gendang perang sudah dibunyikan. Malaysia dan Indonesia semacam berada di ambang perang. Malah kemuncak dari ketegangan itu ialah Jakarta menghantar tujuh kapal perang dan empat pesawat gempur F-16 ke kawasan itu.

Di Malaysia, Ambalat samalah seperti Sipadan Ligitan yang menjadi isu hak membabitkan kedua-dua negara. Di Indonesia protes terhadap Ambalat berlaku di mana-mana. Di Malaysia pula, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan rakyat supaya jangan membuat demonstrasi membalas tindakan rakyat Indonesia mengenai isu itu. Dua isu dilihat dari dua perspektif atau kepentingan berbeza?

Mungkin banyak orang yang tidak menyedari bahawa media Malaysia secara diam-diam mengamalkan dasar 'berwaspada' dalam menangani berita mengenai Indonesia. Pimpinan Indonesia tidak akan diperlekeh di dalam media Malaysia. Kalau adapun kritikan yang keras, tidak akan sampai melimpah menjadi isu yang emotif.

Hal ini mungkin ada kaitannya dengan sejarah. Wartawan Malaysia, seperti juga penulis, budayawan dan seniman Malaysia mempunyai penghormatan yang tinggi terhadap rakan sejawatan mereka dari Indonesia. Malah gerakan penulisan, kesenian dan kebudayaan yang amat rapat yang diperkukuh sejak Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) lagi telah mencorakkan hubungan karyawan kedua-dua negara. Rakyat Malaysia membesar dengan karya filem, novel dan puisi dari Indonesia. Selama banyak dekad, hubungan Malaysia - Indonesia dianggap istimewa kerana konsep "saudara serumpun." Pelbagai usaha membabitkan institusi rasmi berjalan bagi merapatkan lagi hubungan itu.

Hubungan Malaysia dan Indonesia memang selamanya unik dan istimewa. Mungkin agaknya kita mengambil mudah hubungan ini. Atau Malaysia mengandaikan bahawa hubungan kedua-dua negara terlalu "rapat" atau "intim" lalu segala isu dan masalah dengan mudah boleh diselesaikan bersama. Tetapi hubungan dua hala tidak dicorakkan oleh hubungan pimpinan saja. Rakyat juga mempunyai saham dalam menentukan masa depan hubungan itu.

Dalam konteks hubungan ini, media memainkan peranan sangat penting. Mungkin ada baiknya dari semasa ke semasa diadakan dialog membabitkan pengamal media kedua-dua negara untuk melihat dan memahami isu-isu bersama. Juga adalah baik sekiranya kerajaan Malaysia mengambil inisiatif mengundang wartawan dari Indonesia dari semasa ke semasa untuk melihat sendiri apa yang berlaku di negara ini. Undangan rasmi sebegini akan dapat membantu teman wartawan di Malaysia memahami banyak isu dari perspektif kita.

Masa depan hubungan dua hala banyak bergantung pada pemahaman pengamal media kedua-dua negara.


Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu 18 November 2007