PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menjalin kerjasama dengan Battelle Memorial Institute dari Amerika Syarikat, Battelle-Japan Corporation dan Mitsubishi Corporation bagi menubuhkan makmal sumber tenaga boleh diperbaharui di Petronas Research Sdn Bhd di Bangi, Selangor.
Menerusi kenyataan semalam, Petronas berkata kerjasama itu memperkukuhkan usaha yang dijalankan sejak Julai lalu bagi menggerakkan inisiatif sumber tenaga boleh diperbaharui dan merangka konsep awal makmal yang dicadangkan itu.
Katanya, penubuhan makmal itu yang dijangka menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama sumber tenaga boleh diperbaharui, adalah selaras aspirasi Petronas dalam mempertingkatkan usaha penyelidikan dan kemajuan teknologi.
"Ia adalah bagi menyokong serta menyediakan input strategik bagi menetapkan urus niaga syarikat pada masa depan," katanya.
Pada majlis memeterai perjanjian yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, Petronas diwakili Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican manakala Battelle Memorial Institute oleh Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Dr Carl Kohrt.
Battelle-Japan Corporation diwakili Pengerusinya, Dr Richard Adams dan Mitsubishi Corporation oleh Naib Presiden Kanan Urus Niaga Sumber Tenaga Baru dan Alam Sekitarnya, Nobuaki Kojima.
Petronas berkata, pada peringkat awal, makmal berkenaan akan memberi fokus terhadap program berasaskan bio seperti penukaran bio-jisim kepada bio-bahan bakar, bio-pelincir, bio-kimia serta bio-polimer dan seterusnya ke bidang R&D gunaan dalam sumber boleh diperbaharui.
Dalam jangka panjang, makmal itu dijangka mampu menghasilkan kemajuan sains dan teknologi impak tinggi dalam sumber tenaga boleh diperbaharui, dan mewujudkan harta intelektual bernilai tinggi serta memastikan amalan terbaik pengurusan dalam R&D dan pengkomersialan teknologi.
"Lebih penting lagi, penubuhan makmal ini akan memudahkan pemindahan keupayaan dan kecekapan sains dan teknologi yang lebih khusus melalui program pembangunan sambil bekerja yang berstruktur dan menerapkan budaya inovasi di Petronas dan di kalangan masyarakat Malaysia," katanya.
Berita Harian 16 November 2007