Khamis, 15 November 2007

35.5 juta rakyat Amerika kerap kebuluran: Kajian


Tak cukup nafkah hidup, sukar dapat kerja punca kelaparan pada 2006


WASHINGTON: Lebih 35.5 juta penduduk Amerika Syarikat terpaksa berlapar untuk tempoh tertentu pada 2006 ketika berhempas pulas mencari kerja bagi menampung kehidupan mereka, perangkaan yang tidak berubah dari tahun sebelumnya, kata Jabatan Pertanian kelmarin.

Golongan ibu tunggal dan anak mereka paling teruk terjejas, menurut kajian. Jumlah 35.5 juta itu mewakili lebih seorang dalam 10 penduduk atau 12.1 peratus.

Mereka tidak mempunyai wang mencukupi atau sumber mendapatkan makanan untuk sekurang-kurangnya beberapa tempoh dalam setahun, menurut tinjauan tahunan jabatan itu mengenai masalah berkenaan.

Ini dibandingkan dengan angka 35.1 juta penduduk yang membuat dakwaan sama pada 2005.

"Ini menggalakkan tetapi kami sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini," kata Timbalan Setiausaha Rendah bagi Perkhidmatan Pemakanan, Zat dan Pengguna jabatan itu, Kate Houston.

Katanya, angka tidak jauh berbeza dari 2005, yang menyaksikan penurunan selepas peningkatan lima tahun berturut-turut.

Daripada 35.5 juta itu, 11.1 juta melaporkan mereka mempunyai 'tahap keselamatan makanan amat rendah', bermakna wujud gangguan dalam kadar makanan yang selalu dimakan. Sebagai contoh, di kalangan keluarga, satu pertiga daripada golongan yang mengalami gangguan dalam makanan selalu dimakan berkata, seorang orang dewasa dalam keluarga tidak makan sepanjang hari kerana tidak mampu.

"Tiada seorang pun rakyat Amerika sepatutnya kelaparan," kata Houston.

Tinjauan berdasarkan data Biro Bancian dan tidak termasuk golongan tidak berumah. Kira-kira tiga perempat daripada sejuta penduduk tidak berumah pada hari tertentu tahun 2005, menurut perangkaan Persekutuan.

Antara hasil kajian yang ditemui termasuk di kalangan keluarga, kira-kira 12.6 juta atau 10.9 peratus dilaporkan berlapar untuk sekurang-kurangnya beberapa ketika, tahun lalu. Pembahagian golongan berkenaan adalah ibu tunggal dengan 30.4 peratus; isi rumah kulit hitam, 21. 8 peratus; isi rumah Hispanik, 19.5 peratus; dan isi rumah dengan pendapatan di bawah paras kemiskinan, 36.3 peratus.

Daripada jumlah 35.5 juta orang dilaporkan kelaparan tahun lalu, 12.6 juta adalah kanak-kanak.

"Laporan ini dikeluarkan pada saat kritikal bagi golongan kelaparan Amerika dan sebahagian daripada kami yang membantu mereka.

"Kemungkinan tiada makanan bagi banyak keluarga ketika seluruh negara berkumpul menyambut Hari Kesyukuran dan perayaan agama," kata Presiden kumpulan bantuan kelaparan terbesar Amerika, 'America's Second Harvest-The Nation's Food Bank Network', Vicki Escarra.

Dalam laporan, perkataan 'keselamatan makanan rendah' dan 'keselamatan makanan amat rendah' menggantikan gambaran lama 'tiada jaminan makanan tanpa kelaparan' dan 'tiada jaminan makanan dengan berlapar.'

Perubahan dibuat tahun lalu berdasarkan cadangan Akademi Kebangsaan, yang menasihatkan kerajaan mengenai isu sains, langkah yang dikritik beberapa anggota Demokrat yang berkata laporan itu juga bercakap secara kiasan.

Jim Weill, Presiden Pusat Penyelidikan Makanan dan Tindakan, kumpulan antikelaparan, berkata dia terganggu dengan laporan itu. Katanya, perangkaan bagi tahun 2007 mungkin terbukti lebih buruk, disebabkan peningkatan harga makanan dan ekonomi tidak menentu tahun ini.

"Kita perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memastikan isi rumah mendapat makanan menyihatkan dengan memperbaiki dan meluaskan program yang terbukti membantu," katanya.


- AP