Khamis, 15 November 2007

Lakshmi dibenar keluar hospital


BANGALORE: Kanak-kanak perempuan India yang dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan muncul di khalayak ramai buat kali pertama Selasa lalu sejak menjalani pembedahan membuang anggota tubuhnya yang berlebihan itu.

Lakshmi Tatma, dua tahun, yang dinamakan sempena Dewi Kekayaan Hindu yang bertangan empat, diangkat bapanya pada satu sidang akhbar.

"Saya gembira mengumumkan dia akan keluar dari unit rawatan rapi hari ini. Kami sudah menanggalkan semua alat pemerhatian. Dia sembuh dengan baik," kata Dr Sharan Patil, yang mengetuai kira-kira 30 doktor dalam pembedahan Lakshmi, kepada wartawan di Hospital Sparsh di Bangalore, selatan India.

Seminggu lalu, doktor menjalankan pembedahan lebih satu hari untuk membuang janin kembar Laksmi, yang melekat di pinggul dan tidak berkembang serta berpisah dengan sempurna dalam rahim.

Kecacatan kelahiran jarang berlaku itu dikenali sebagai kembar parasit. Selain membuang lebihan anggota, doktor turut membuang organ dalaman berlebihan dan membetulkan kecacatan tengkorak.

Dia diletakkan dalam unit rawatan rapi di hospital itu, Dr Patil berkata, Lakshmi kini memakan makanan separuh pejal dan lukanya semakin sembuh.

"Dia mengenali kami sebaik sedar selepas pembedahan. Kami gembira melihat dia semakin sembuh," kata bapa Lakshmi, Shambu, seorang buruh miskin dari kampung di timur Bihar.

Lakshmi masih perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan kakinya, kata doktor, tetapi mungkin tidak sihat sepenuhnya untuk meneruskan prosedur untuk sekurang-kurangnya dua minggu lagi.


- Reuters