LONDON: Satu penyelidikan baru mendapati wanita berusia 60 tahun ke atas yang menjalani hidup bersendirian jauh lebih bahagia dan sihat berbanding lelaki, lapor akhbar Daily Telegraph.
Menurut kumpulan penyelidik Britain, salah satu alasan kerana rasa bahagia dan sihat ialah wanita bebas dari perlu 24 jam menjaga suami tua yang berkemungkinan berada dalam tahap kesihatan lebih teruk berbanding mereka.
Penyelidikan menumpukan perbezaan di kalangan penduduk Eropah. Warga tua di Scandinavia lebih gembira berbanding di bahagian lain Eropah kerana mempunyai sistem kebajikan baik.
Di England dan Wales, wanita tua yang tinggal bersendirian dilaporkan mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding wanita sama usia walaupun golongan berkahwin mempunyai kadar kematian lebih rendah dalam masa tiga tahun lagi.
"Satu alasan mungkin sebahagian wanita berkahwin yang sudah tua terpaksa memikul tanggungjawab menjaga pasangan masing-masing, yang mungkin menjejaskan tahap kesihatan mereka," kata ketua penyelidik, Prof Emily Grundy, dari Pusat bagi Kajian Kependudukan di Jabatan Kebersihan dan Perubatan Tropika London.
Prof Grundy dan rakannya membuat rumusan itu selepas menganalisis data dari Pejabat bagi Kajian Statistik Panjang Umur Kebangsaan di England dan Wales, Kajian Panjang Umur Inggeris mengenai Penuaan England dan Tinjauan Sosial Eropah dengan bilangan dari 19 negara Eropah.
Kajian dibiaya oleh Majlis Penyelidikan Ekonomi dan Sosial itu juga mendapati lelaki yang tinggal dengan saudara atau rakan kurang gembira atau berpuas hati berbanding mereka yang tinggal dengan isteri.
-Agensi