Khamis, 15 November 2007

Stesen siar program sindir pemimpin


JAKARTA: Sebuah stesen televisyen tempatan bertindak berani membelakangkan pantang larang dengan menayangkan rancangan menyindir dan mempersendakan pegawai kerajaan - sesuatu yang tidak akan dilakukan sedekad lalu.

"Kita bebas tetapi terpulang kepada kita untuk menggunakan kebebasan itu," kata profesor media di Universiti Indonesia, Effendi Gazali, yang membantu memberi idea kepada rancangan dua kali seminggu itu kepada Reuters.

Rancangan bertajuk 'Republik Mimpi' itu menonjolkan panel yang mempunyai paras hampir serupa dengan ahli politik di depan penonton secara langsung.

Dilancarkan dua tahun lalu, ia selalunya memfokuskan sifat peribadi pemimpin Indonesia dulu dan sekarang.

Dalam satu episod, aktor menyindir bekas Presiden Abdurrahman Wahid, yang selalu kelihatan tidur dalam mesyuarat dan menghabiskan kebanyakan masa dalam rancangan itu dengan tidur.

Pelakon lain mempersendakan seorang lagi bekas presiden, B J Habibie, jurutera yang asyik dengan semangat menukarkan Indonesia kepada kuasa besar teknologi.

Hubungan tegang antara pemimpin sekarang, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, bekas jeneral yang kadang kadang dilihat sebagai teragak-agak membuat keputusan, dan Timbalan Presiden, Jusuf Kalla, yang lantang bersuara, dijangka akan bertanding menentangnya pada pilihan raya pada tahun 2009, juga menjadi fokus kebanyakan episod.

Kebebasan media di Indonesia, negara paling ramai umat Islam di dunia, mencatat kejayaan bermakna sejak bantahan besar-besaran pada tahun 1998 yang menamatkan pemerintah Presiden Suharto. Kerajaan pimpinan Suharto kerap menekan akhbar.

Ramai percaya rancangan itu memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat mengenai demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Saya percaya rancangan seumpama ini mempunyai peranan besar dalam mendidik rakyat dalam nilai demokratik, sekurang-kurangnya kami boleh meminta mereka selalu bersikap kritikal dalam berurusan dengan hidup," kata Butet Kartaredjasa, pelakon yang memainkan peranan Susilo.

Sujarwo, pelakon yang memegang watak Jusuf, bersetuju dengan pendapat Butet. Katanya, rancangan itu cuba menekankan isu serius seperti banjir besar di Jakarta, sebahagiannya dipersalahkan ke atas birokrat yang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik.

"Mereka menggunakan sindiran dan ia terus pergi ke hati," kata Agus Apriyanti, pelajar kewartawanan berusia 20 tahun yang turut menonton rancangan itu.

Dia berkata, program itu 'menggunakan bahasa mudah yang membolehkan penonton memahami keadaan politik sebenar dan kebebasan akhbar.'

Walaupun tidak setajam sindiran politik Barat, rancangan itu tetap menimbulkan rasa tidak senang pada segelintir pihak.

Mac lalu, Menteri Penerangan ketika itu, Sofyan Djalil, menuduh rancangan itu memberikan 'pendidikan politik negatif' dan mengancam melaporkannya kepada suruhanjaya penyiaran berhubung aduan diterima.


- Reuters