Selasa, 4 Disember 2007

Asean tidak patut sangsi dengan negara Asia Timur


KEWUJUDAN sebuah komuniti Asia Timur akan hanya berjaya jika negara Asean dan rantau Asia Timur mempunyai keazaman politik, semangat, identiti, nilai serta aspirasi yang satu. Kita akui bahawa proses untuk membangunkan satu gagasan besar seperti komuniti Asia Timur bukanlah perkara mudah, apatah lagi dalam keadaan negara anggotanya yang pelbagai dan latar belakang berbeza. Malah sikap syak wasangka dan perasaan iri hati di kalangan anggota Asean serta golongan pengkritik dari dalam dan luar rantau berkenaan yang memperlekehkan konsep itu juga boleh menjejaskan pelaksanaannya. Atas hakikat itulah, kita menjangkakan proses pembangunan sebuah komuniti Asia Timur akan memakan masa lebih lama daripada yang dirancangkan. Kita percaya keikhlasan dan kesungguhan semua pihak untuk memastikan gagasan ini menjadi kenyataan amat penting. Malah, proses integrasi di kalangan Asean kini semakin baik dan ada pendapat mengatakan ia hampir menyamai tahap Kesatuan Eropah, bahkan lebih rancak daripada sesetengah kerjasama serantau yang lain.

Kita melihat ini sebagai perkembangan positif dan memberi nafas baru kepada pembentukan gagasan itu. Sebagai sebuah negara yang aktif mempromosikan konsep kerjasama serantau, Malaysia menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama terbuka Asia Timur. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pernah menyuarakan kepentingan semangat yang satu ini. Beliau juga menyatakan kebimbangannya pada satu forum mengenai Asia Timur tahun lalu apabila menegur bahawa negara Asia Timur kurang menggunakan sumber dan kesempatan yang ada bagi mengukuhkan keadaan dan mewujudkan persekitaran baru ke arah keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau.

Kita percaya matlamat jangka panjang Asean + 3 (Asean campur China, Jepun dan Korea Selatan) adalah untuk membina komuniti Asia Timur yang terbuka dan proses Asean + 3 ini adalah landasan utama bagi membina komuniti ini. Proses Asean + 3 ini bukan semata-mata mengenai kerjasama kerana ia juga membabitkan urusan membangunkan komuniti yang lebih luas dan ini sudah tentunya membezakannya dengan proses kerjasama lain di rantau Asia Pasifik. Bagi menjadikan konsep Asia Timur ini satu realiti, negara Asean + 3 bukan saja perlu lebih komited tetapi juga menyumbang dengan lebih banyak.

Ia bukan hanya membabitkan demokrasi dan hak politik saja, banyak lagi isu yang menjadi tumpuan utama negara Asean dan rakannya dari Asia Timur meliputi soal keamanan dan keharmonian sesama negara, kebebasan daripada kemiskinan dan penyakit, pekerjaan, taraf kehidupan yang baik serta penjagaan alam sekitar.

Bagi mencapai hasrat itu, sememangnya wajar Asean dan Asia Timur menjalin hubungan kerjasama lebih mantap menerusi kepemimpinan yang berwawasan dan bersemangat tinggi. Asean dan ketiga-tiga negara rakannya itu perlu melupakan sengketa lama dan mengetepikan kritikan dalaman dan luar yang memperlekehkan konsep berkenaan. Asean juga harus menolak sebarang perasaan syak wasangka sesama sendiri dan tidak membiarkan pihak tertentu yang tidak mendapat faedah daripada perpaduan serantau mempengaruhi serta memanipulasi mereka. Jika matlamat Asean dan Asean + 3 benar-benar bertujuan mewujudkan gagasan yang dikehendaki itu, mereka harus mewujudkan satu hubungan baru serta memandang ke depan dengan lebih yakin. Pembentukan sebuah masyarakat Asia yang lebih mantap yang mana negara anggota dapat menimba apa juga peluang dan sinergi daripada kerjasama itu amat penting dalam menghadapi gelombang globalisasi yang kini masih menguntungkan negara Barat.

Berita Harian 5 Disember 2007