Calon presiden harus sedar dunia mahu mereka lebih bertanggungjawab
SIAPAPUN yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak akan menukar haluan dasar luar AS. Presiden boleh datang dan pergi tetapi dasar luar AS pada keseluruhannya tidak banyak berubah. Cuma kali ini dasar luar menguasai kempen pemilihan presiden kerana apa yang berlaku pada 11 September 2001, ancaman keganasan dan penaklukan AS di Afghanistan dan Iraq.
AS menggunakan September 11 sebagai alasan untuk 'mengajar' Afghanistan kerana membenarkan Osama ben Laden bertapak di situ. Tentera paling hebat di dunia menakluk negara yang Keluaran Dalam Negara Kasarnya jauh lebih rendah dari negeri (state) termundur di AS. Bagaimanapun, alasan menyerang Iraq sama sekali tidak boleh dipertahankan. Apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq menampakkan sikap keangkuhan dan pendirian unilateral yang berbahaya.
Serangan ke atas Iraq tidak menyebabkan demokrasi berkembang di Asia Barat seperti yang diharapkan. Sebaliknya Iraq menyebabkan hubungan AS dengan sekutu tradisinya renggang. AS mula dilihat sebagai kuasa besar yang tidak lebih sebagai pembuli negara-negara kecil. Sayang sekali, kerana AS tidak seharusnya dilihat dengan cara begitu negatif. AS menjadi sumber inspirasi dan kekuatan banyak negara membangun. AS menjadi harapan berbilion manusia di planet bumi demi kebebasan, demokrasi dan kestabilan. Sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia, ia mempunyai kesan yang luar biasa pada kemakmuran sejagat.
Bagaimanapun, AS memusnahkan harapan berbilion manusia di dunia. Dalam pelbagai tinjauan atau poll yang dibuat di negara yang secara tradisinya sekutu AS sendiri, pandangan umum rakyat terhadap AS merosot sekali. Di United Kingdom (UK) peratus mereka yang menganggap AS favourable menjunam daripada 83 peratus pada 2000 kepada 56 peratus tahun lalu. Malah, legasi bekas Perdana Menteri Tony Blair terjejas teruk kerana beliau dianggap tidak lebih 'tukang angguk' Presiden Bush. Di Jerman, keadaannya lebih buruk. Peratus mereka yang menyenangi AS merudum daripada 78 peratus pada 2001 menurun kepada 37 peratus tahun lalu. Malah, ramai pemimpin yang menyokong Bush secara membuta tuli dalam kempen Iraq tumbang di beberapa negara - mangsa terakhir ialah John Howard di Australia.
Dalam satu tinjauan lain yang dibuat oleh German Marshal Fund, jumlah orang Eropah yang menganggap AS pemimpin yang boleh diharapkan menjunam menjadi 36 peratus tahun lalu daripada 64 peratus pada 2000. Bagaimanapun, satu hal yang harus diambil kira ialah di kalangan orang Eropah, hanya 35 peratus yang percaya bahawa hubungan AS dengan Eropah akan menjadi 'lebih baik' selepas AS memilih presiden baru dan sejumlah 46 peratus lagi percaya 'ketegangan' sekarang akan berlanjutan.
Ramai daripada mereka menyalahkan Bush dan dasarnya di Afghanistan dan Iraq. Orang Eropah nampaknya lebih realistik bahawa dasar AS sukar berubah walaupun siapa yang dipilih sebagai presiden baru. Itu belum lagi tinjauan yang dibuat di negara Islam di seluruh dunia yang kadar keyakinan ke atas AS adalah yang terendah dalam sejarah.
Melihat pada kebisingan mengenai perang, isu keselamatan dan dasar luar yang dicanangkan oleh calon parti Republikan dan Demokrat, nampaknya semua orang mahu kelihatan garang dan gagah. Rudolph Giuliani, bekas Datuk Bandar New York menggunakan ungkapan seperti 'orang luar sedang merancang membunuh kita' sebagai taktik menakut-nakutkan. Mitt Romney bercakap mengenai 'membesarkan tempat tahanan Guantanamo', sementara John McCain tidak teragak-agak untuk mengebom Iran. Mereka semua calon Republikan yang akan terus dipengaruhi oleh parti yang melahirkan Bush, Naib Presiden Dick Cheney dan bekas Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld.
Cakap-cakap mengenai serangan ke atas Iran sebenarnya menakutkan banyak pihak termasuk sekutunya. AS sepatutnya mendekati Iran bukan dengan mengancamnya dengan serangan dan sekatan. Bukan Iran saja yang mempunyai keupayaan nuklear pada masa ini. Agensi yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memantau senjata nuklear (IAEA) mendapati lebih mudah berurusan dengan Iran dari misalnya Pakistan, India atau China. Lagi pula Iran dikelilingi oleh 170,000 tentera Amerika di Iraq dan 50,000 tentera Nato di Afghanistan.
Sekiranya Iran diserang, ia adalah negara Islam ketiga yang diserang oleh AS dalam masa tujuh tahun.
Mungkin Barack Obama, calon Presiden berkulit hitam yang berbapakan orang Nigeria dan dibesarkan di Indonesia oleh bapa angkatnya di sana bercakap dalam bahasa yang lebih berhemah. Bagaimanapun, tidak mudah untuk beliau memenangi kerusi presiden. Hillary Clinton, isteri bekas Presiden Bill Clinton mempunyai sokongan pelobi Yahudi yang cukup berpengaruh. Banyak orang yang menganggap Obama tidak punya pengalaman luar untuk menangani kompleksiti hubungan antarabangsa. Bagaimanapun, beliau mempunyai pengalaman peribadi yang penting yang membezakannya dengan calon yang lain - latar belakang kehidupannya. Beliau tentulah lebih menyedari makna 'keantarabangsaan' daripada mereka yang sebenarnya hidup dan membesar sebagai kulit putih di AS.
Di dalam sebuah rencana dalam keluaran khas Newsweek baru-baru ini, beliau menekankan perlunya dunia bekerja dengan AS dan bukan 'menentang' AS seperti yang berlaku sekarang. Beliau mahu AS bersama-sama menangani pelbagai isu yang berbangkit masa ini - dari soal keselamatan, kemiskinan, alam sekitar hinggalah perjanjian senjata nuklear. Mengenai ancaman radikal Islam beliau menulis, "AS harus menggantikan pergantungan yang terlalu besar pada bala tentera sebaliknya menumpukan pada tindakan terancang ke atas penempatan teroris dan program bersama antarabangsa dalam perisikan dan kerjasama penguatkuasaan bagi menumpaskan rantaian teroris."
Beliau juga mencadangkan pemikir dan ilmuwan AS yang terbaik dihantar bagi membina 'jambatan' pemahaman dengan negara Islam. Obama belum tentu dapat melaksanakan apa yang beliau mimpikan mengambil kira sejarah penguasaan kelompok tertentu di Rumah Putih.
Pada 2003, selepas September 11, AS telah membelanjakan RM1.3 trilion setahun untuk belanja ketenteraannya. Jumlah ini 33 kali lebih banyak daripada biaya ketenteraan tahunan semua tujuh 'negara penyangak' yang dilabelkan oleh Bush pada 2001 - Cuba, Iran, Iraq, Libya, Korea Selatan, Sudan dan Syria. Jumlah ini bertambah lagi pada tahun berikutnya. Sayogia diingat, belanja ketenteraan dunia melebihi RM2.77 trilion setahun pada 2001. Jumlah ini melonjak 12 peratus lagi selepas 2001. Ini bermakna secara purata RM448 bagi setiap penghuni planet ini.
Bayangkan apa yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Pada hari ini, seorang daripada lima orang di dunia hidup dengan hanya RM3.50 sehari. Kemiskinan menyebabkan lebih 800 juta manusia kebuluran. Pada masa ini satu pertiga penghuni planet bumi berada dalam konflik dan peperangan.
Siapapun yang bakal menjadi Presiden AS tahun depan harus mengambil kira bukan saja pandangan umum dunia mengenai negara itu tetapi juga tanggungjawab moralnya. AS adalah satu-satunya kuasa besar yang berbaki. Bush melakukan terlalu banyak kerosakan pada nama baik AS. Tidak ada rasanya seorang presiden AS yang menjadi senama dengan sebegitu banyak kebencian pada mata dunia. Tindak balas negatif terhadap AS menunjukkan bahawa dunia mahu AS yang lebih bertanggungjawab.
AS juga harus menyedari bahawa dunia sudah berubah - termasuk nilai dan pendirian generasi baru warga dunia terhadapnya. Mesej ini harus difahami oleh semua calon presiden negara itu.
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu