Hari Seniman 29 Mei bukti kerajaan iktiraf sumbangan karyawan tanah air
KERAJAAN menetapkan 29 Mei sebagai Hari Seniman. Bagi masyarakat seniman seluruhnya ia suatu penghargaan tertinggi diberikan negara pada mereka. Akhirnya sumbangan, khidmat dan jasa penggiat seni mendapat penghormatan sedemikian. Maknanya bukan kecil bagi masyarakat seniman seluruhnya dan bagi negara juga.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa) berjaya meyakinkan jemaah menteri bahawa kalangan seniman perlukan pengiktirafan negara. 'Seniman' menurut definisi KeKKwa adalah orang perseorangan yang mempunyai bakat yang berkualiti tinggi yang terserlah melalui penghasilan mereka sama ada dalam lakonan, muzik, lagu, nyanyian, tarian, lukisan, ukiran dan lain-lain. Definisi ini merangkumi pelbagai bentuk dan disiplin seni yang luas itu.
Tentulah Hari Seniman membawakan kesedaran pada sumbangan kelompok ini dalam membina tradisi kebudayaan dan kesenian. Lebih penting lagi mengingatkan rakyat Malaysia mengenai makna kesenian dan peranannya dalam masyarakat. Seni adalah manifestasi sebuah tamadun. Tamadun tidak terbina daripada kejayaan ekonomi dan prasarana fisikal semata-mata. Tamadun dicorakkan oleh keupayaan seni dan taraf kebudayaan sesuatu bangsa.
Dalam sejarah tamadun, bangsa juga diukur dari 'penyataan seni' yang hebat dan terpuji. Bangsa yang mengetepikan keseniannya tidak akan dihormati. Malah kesenian yang mencorakkan citra, nilai dan wibawa sesuatu bangsa.
Seniman serta karyawan menyumbang pada khazanah kesenian dan kebudayaan bangsa. Istana Melayu melahirkan pujangga yang mencipta karya besar dan agung dalam pelbagai kitab dan buku. Karya ini sebahagiannya dapat kita tatap hingga ke hari ini. Kitab yang ditinggalkan itu mungkin dalam bentuk historiografi, sumber perundangan atau peraturan adat yang ditulis oleh bijak pandai atau pujangga istana. Istana Melayu memang menjadi penaung kegiatan ilmu selain kesenian dan seni ukir.
Di luar istana, tradisi sastera lisan berkembang begitu pesat. Daripada cerita rakyat hingga cerita teladan, daripada pantun hingga peribahasa, daripada gurindam hingga perbilangan adat, tradisi sastera begitu kental di kalangan rakyat. Baik di istana mahupun di kalangan rakyat, teater dan kesenian rakyat lainnya menjadi sebahagian daripada tradisi kaya orang Melayu.
Pada zaman moden, bangsawan, sandiwara dan filem pula berkembang. Masing-masing memainkan peranan memberikan hiburan dan pengajaran pada rakyat. Pemain bangsawan mengabdikan diri dengan hanya beberapa ringgit semalam. Baik hero (lebih dikenal sebagai 'Orang Muda') atau heroin ('Seri Panggung' atau Primadona), bayaran untuk mereka amat terbatas. Sebelum filem, bangsawan adalah teater rakyat yang begitu popular.
Dalam sistem studio di Singapura, pelakon yang begitu terkenal dan hebat sebenarnya dibayar gaji bulanan. Di sebalik glamor dan kemasyhuran mereka dibayar begitu sedikit. Tenaga mereka diperah. Apabila meninggalkan dunia filem, banyak yang harus kembali pada kenyataan bahawa mereka harus meneruskan hidup. Yang bernasib baik membuka perusahaan sendiri, terbabit dalam perniagaan atau mungkin mengahwini orang yang berada. Selebihnya membawa teksi, menjadi jaga, berlakon sambilan atau hanya mengharap ihsan orang lain.
P. Ramlee
P Ramlee adalah bintang gemilang pada zaman kemasyhurannya. Tetapi di sebalik cerita kehebatan dan bakat luar biasanya, ialah penderitaan, kekecewaan dan nasib malang. P Ramlee melambangkan apa yang dianggap terbaik dan terburuk dalam dunia kesenian tanah air - terbaik kerana beliau tokoh luar biasa, terburuk kerana tidak boleh hidup senang dengan bakatnya di tanah air sendiri.
Bukan sedikit cerita yang dirakamkan mengenai nasib P Ramlee. Malah dalam buku Ayahku P Ramlee, anaknya Nasir menceritakan bagaimana kisah duka yang melanda tokoh besar itu. Jikalau P Ramlee yang dianggap lagenda di kalangan orang Melayu boleh menghadapi masalah sedemikian, bayangkan ratusan yang lain. Memang wajarlah tarikh P Ramlee meninggal dunia 29 Mei, dijadikan Hari Seniman.
Demikianlah kehidupan seniman negara ini yang sebenarnya ibarat lilin yang membakar diri sendiri. Mereka berlakon dan menghiburkan jutaan manusia tetapi di dalam kalbu dan sanubari, hanya Tuhan yang mengetahui penanggungan mereka. P Ramlee tidak meninggalkan kekayaan pada isterinya Saloma atau anaknya Nasir. Mereka harus bertarung untuk hidup. Sekurang-kurangnya Nasir dibantu juga akhirnya. Bagaimana nasib seniman atau anak-anak seniman yang lain?
Begitulah kisah malang yang selalu dikaitkan dengan seniman. Di sekeliling kita ialah bekas pelakon, penyanyi, pemuzik dan pelawak yang berbakat. Banyak daripada mereka hidup ala kadar saja. Malah banyak pula yang menderita kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka memerlukan bantuan.
Sekiranya di negara maju, anak-anak seniman boleh hidup mewah dengan royalti daripada penghasilan ibu bapa mereka. Di negara ini pelaksanaan undang-undang hak cipta masih longgar, banyak peniaga merompak hak seniman dan mengetepikan rasa hormat pada hasil seni. Tidak hairanlah jikalau kita mendengar bekas pelakon atau penyanyi meminta belas ihsan orang ramai apabila mereka dilanda musibah.
KeKKwa menyedari hal ini. Anugerah Seniman Negara adalah penghormatan tertinggi negara pada masyarakat seniman. Sehingga ini tujuh orang dalam pelbagai disiplin diberikan anugerah itu - Hamzah Awang Amat, Syed Ahmad Jamal, Haji Wan Su Othman, Khatijah Awang, Syed Alwi Syed Hassan, Rahman B dan Ahmad Nawab. Bukan itu saja, KeKKwa juga mengambil usaha untuk membela kaum seniman dengan mewujudkan pelbagai insentif antaranya Program Belaan Hidup Artis dan Karyawan Seni Budaya dan Warisan yang mengambil kira kebajikan karyawan seni yang kurang bernasib baik. Selain daripada itu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang membabitkan kalangan seniman turut mengadakan program membantu seniman.
KeKKwa juga memahami peri pentingnya seniman hari ini diberikan latihan formal agar mereka tidak mengulang kesilapan seniman sebelumnya. Tentunya keadaan mereka lebih baik hari ini. Ada penghibur tanah air yang mendapat bayaran lumayan. Dunia iklan, jualan produk dan promosi menjadikan beberapa orang seniman kita jutawan. Ini termasuk pelukis yang karya mereka dibeli dengan harga puluhan, ratusan malah jutaan ringgit.
KeKKwa juga memberikan jenama dan wajah baru pada Kompleks Budaya Negara (KBN) satu waktu dulu. Kini ia muncul sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau Aswara, iaitu institusi formal memberikan pendidikan seni kepada bakat-bakat muda. Graduan Aswara akan keluar dalam dunia budaya dan hiburan komersial dan penuh persaingan. Berbeza dengan seniman sebelum ini, mereka dipersiapkan dengan kemahiran, ilmu dan pengetahuan yang sepatutnya yang diajarkan secara profesional.
Hari Seniman juga membabitkan usaha membawa kesenian ke pangkuan rakyat. Rakyat harus juga disedarkan bahawa dunia seniman bukan hanya gosip dan glamor, tetapi usaha mengisi tradisi kesenian yang bertaraf dunia. Pada waktu yang sama usaha ini harus membabitkan rakyat bagi sama-sama menghargai sumbangan seniman tanah air. Bagi golongan seniman, ini kesempatan yang terbaik untuk belajar dari kisah silam bagi mengorak langkah ke hadapan.
Dunia seni negara harus ditingkat pada tahap yang lebih tinggi - pada lapisan yang lebih hebat. Seni budaya negara harus setara dengan yang dimiliki oleh bangsa lain. Imej kita sebagai negara banyak bergantung pada mutu kesenian. Dunia seni menjadi salah satu urus niaga dagang yang terbesar di dunia hari ini. Hiburan menjadi industri berbilion ringgit. Kerajaan hanya boleh menyediakan prasarana dan memberikan penghargaan setakat yang boleh. Seniman yang harus menggerak langkah baru dalam dunia seni yang semakin hebat cabarannya.
Seniman negara harus bertanya - apakah sasaran mereka selepas ini?
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu 17 Disember 2007