'Lost World' di Foja habitat spesies baru palma, rama-rama
JAKARTA: Sekumpulan penyelidik di kawasan hutan terpencil di Indonesia menemui seekor tikus gergasi dan sejenis tupai kecil disifatkan baru kepada sains, memperkukuhkan lagi kepelbagaian kehidupan di negara Asia Tenggara itu. Spesies baru mamalia itu ditemui sekumpulan saintis Amerika Syarikat dan Indonesia. Mereka kini sedang menjalankan kajian lanjut bagi mengesahkan status spesies mamalia itu.
Haiwan terbabit ditemui di kawasan hutan hujan pergunungan Foja di timur wilayah Papua dalam satu ekspedisi Jun lalu, kata Conservation International yang berpejabat di Amerika Syarikat yang menganjurkan kajian bersama Institut Sains Indonesia. "Tikus gergasi itu lebih kurang lima kali ganda daripada saiz tikus bandar biasa," kata Kristofer Helgen, seorang saintis dari Institusi Smithsonian di Washington.
"Ia langsung tidak takut kepada manusia dan datang beberapa kali ke kem ketika ekspedisi terbabit."
Tupai yang ditemui pula disifatkan sebagai salah satu daripada marsupial terkecil di dunia.
Satu ekspedisi 2006 ke kawasan hutan yang sama digelar Conservation International sebagai 'Lost World' kerana sebelum ini ia jarang dilawati manusia yang turut mendedahkan beberapa spesis eksotik baru palma dan rama-rama.
Papua memiliki hutan hujan terbesar di dunia tetapi seperti tempat lain di Indonesia ia menjadi saingan kepada pembalakan haram. Saintis tahun lalu berkata kawasan Foja belum lagi terancam kerana ia terletak di kawasan pedalaman. "Gembira sekali apabila mengetahui masih ada satu tempat di atas dunia yang amat terpencil serta masih kaya dengan alam semula jadi sepenuhnya," kata ketua ekspedisi, Bruce Beehler.
"Kami gembira melihat kawasan Eden ini masih belum tercemar dan kekal seperti sebelumnya ketika pertama kali kami melawatnya."
- AP