ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan dan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam cuba memastikan sama ada jangkitan selsema burung di sini membabitkan pemindahan antara manusia selepas negara itu melaporkan kes pertama kematian membabitkan manusia akibat virus terbabit.
Pegawai kesihatan Pakistan hujung minggu lalu mengesahkan bahawa lapan penduduk diuji positif virus H5N1 di Wilayah North West Frontier sejak lewat Oktober lalu dengan seorang daripada mereka pekerja di ladang ternakan meninggal dunia. Seorang adik mangsa yang belum diuji juga dilaporkan meninggal dunia. Ia belum dipastikan sama ada beliau juga adalah mangsa jangkitan selsema burung.
Sekurang-kurangnya 100 orang yang mempunyai tanda jangkitan selsema di wilayah terbabit diperiksa tetapi semua didapati negatif, kata jurucakap kementerian kesihatan.
“Belum dapat dikaitkan kes di sini kepada pemindahan virus antara manusia tetapi kita perlu mengambil langkah berhati-hati,” kata jurucakap terbabit, Orya Maqbool Jan Abbasi.
- Reuters