GAMBAR fail ini menunjukkan sebuah lori berada di Depot Securitas di Tonbridge, selatan England ketika satu rompakan berlaku pada 22 Februari 2006 (gambar kecil) Hoggs.
SEORANG jurusolek, Michelle Hogg yang menjadi saksi dalam satu kes rompakan terbesar di Britain kini berada dalam ketakutan selepas menghadapi ancaman bunuh.
Perancang utama rompakan yang membabitkan wang tunai berjumlah 53 juta pound sterling (RM341 juta) itu dilaporkan menawarkan ganjaran bernilai 7 juta pound sterling (RM45 juta) bagi membunuh Hogg.
Hogg yang berasal dari London membuat beberapa topeng untuk digunakan oleh sekumpulan penjenayah bagi merompak sebuah gudang menyimpan wang tunai, Securitas pada 2006 di Tonbridge, selatan England.
Bagaimanapun, beberapa tuduhan terhadap Hogg yang juga anak kepada seorang anggota polis itu digugurkan selepas dia menjadi saksi kepada pihak pendakwa raya.
Dia kini diletakkan di bawah program perlindungan saksi dan terpaksa menukar nama dan penampilannya serta diberikan identiti baru.
Hogg juga kini hidup dalam ketakutan selepas kenyataannya di mahkamah mengakibatkan lima suspek kes rompakan itu didapati bersalah kelmarin.
Kesemua suspek iaitu Stuart Royle, 49, Jetmir Bucpapa, 26, Lea Rusha, 35, Ermir Hysenaj, 28, dan Roger Coutts, 30, didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan menculik, merompak dan memiliki senjata api dan hanya menunggu bentuk hukuman yang bakal dijatuhkan oleh mahkamah.
Namun, pihak polis bimbang perancang utama rompakan itu yang masih bebas menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa yang dapat membunuh Hogg.
Hogg sebelum ini telah mengenal pasti seorang perancang utama rompakan itu yang kini ditahan di utara Afrika dan menunggu proses ekstradisi ke Britain.
Pihak polis juga berjaya menjumpai semula wang tunai berjumlah21 juta pound sterling (RM135 juta) tetapi baki wang rompakan itu masih gagal dikesan dan dipercayai diseludup ke Maghribi, Cyprus Utara atau Albania.
Pihak Scotland Yard percaya baki wang tersebut yang berjumlah 32 juta (RM206 juta) pound sterling dibawa oleh seorang lagi suspek, Sean Lupton ke Cyprus.
Lupton, 47, kini menjadi buruan pihak berkuasa Britain dan dipercayai melarikan diri ke Cyprus.
Satu sumber polis berkata, Hogg yang merupakan saksi utama mengetahui bahawa dirinya dalam bahaya kerana hanya dia seorang sahaja yang tahu siapakah perancang utama rompakan itu.
Satu sumber polis berkata, Hogg yang merupakan saksi utama mengetahui bahawa dirinya dalam bahaya kerana hanya dia seorang sahaja yang tahu siapakah perancang utama rompakan itu.
"Dia kini mungkin tidak dapat tidur nyenyak di waktu malam kerana penjenayah terbabit sanggup menawarkan ganjaran bernilai berjuta-juta pound untuk membunuhnya," katanya.
Satu sumber berkata, bukti yang dikemukakan oleh Hogg sangat penting bagi menyabitkan kesemua suspek dengan jenayah yang mereka lakukan.
"Bagaimana Hogg terlibat dengan rompakan itu kami tidak tahu tetapi dia kini sudah bebas dan penjenayah itu mungkin berazam untuk membalas dendam," ujarnya.
Hogg mengaku membantu perompak terbabit melakukan penyamaran dengan membuat topeng daripada getah dan rambut palsu.
Dia juga menggunakan tali coli untuk menegangkan kulit di belakang mata salah seorang perompak tersebut supaya dia kelihatan seperti seorang keturunan Cina.
Hogg juga membuat dagu dan hidung palsu untuk perompak terbabit.
Rompakan itu berlaku pada 21 Februari 2006 apabila pengurus gudang simpanan wang di Kent, Colin Dixon ditahan oleh dua penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis ketika pulang dari tempat kerjayanya.
Dixon kemudiannya sedar dia diculik apabila penjenayah itu mengacukan sepucuk pistol ke arahnya dan membawanya ke sebuah ladang.
Pada masa yang sama, dua penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis pergi ke rumah Dixon dan memberitahu isterinya, Lynn bahawa suaminya terlibat dalam satu kemalangan.
Lynn dan seorang anaknya berumur tujuh tahun kemudiannya menaiki kereta perompak itu sebelum dibawa ke ladang tempat Dixon ditahan.
Mereka kemudiannya dibawa ke gudang itu di mana Dixon dipaksa membantu perompak terbabit melepasi beberapa kawalan keselamatan.
Selepas berjaya memasuki bangunan itu, kumpulan perompak itu kemudiannya mengikat 14 pekerja dan mengancam untuk membunuh mereka sekiranya tidak mematuhi arahan.
Kumpulan itu melarikan wang tunai 53 juta pound sterling (RM341 juta) dan terpaksa meninggalkan sejumlah wang lagi berjumlah 154 juta pound sterling (RM991 juta) kerana lori yang mereka bawa sudah dipenuhi dengan wang tunai.
- Agensi