Khamis, 3 Januari 2008

Menukar toksik kepada elektrik

Satu teknologi baru telah ditemui oleh sekumpulan pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan sisa toksik dari lombong dibersihkan dan dalam masa yang sama, dapat mencipta tenaga elektrik.

Air tercemar yang mengalir dari lombong besi atau arang batu merupakan risiko alam sekitar yang serius dan membahayakan keselamatan bekalan air minuman serta kelansungan hidup tumbuhan dan binatang. Pencemaran seperti ini mengandungi bahan-bahan kimia seperti arsenik, plumbum, tembaga, besi dan kadmium yang pada masa ini sukar dirawat serta memerlukan kos yang tinggi.

Jurutera-jurutera alam sekitar di Pennsylvania State University, AS, kini sedang berusaha membangunkan sejenis peralatan yang boleh menangani masalah alam sekitar ini, di samping menyediakan sumber tenaga baru.

Para pengkaji telah menguji peralatan rekaan versi skala makmalnya itu pada cecair yang dimasuki besi, bahan yang mencemari air dari lombong. Alat itu berjaya memusnahkan besi tersebut serta berupaya mengalirkan elektron daripadanya. Tindakbalas ini berjaya menghasilkan elektrik secara efisien.

Bagaimanapun, buat masa ini para saintis berkata, alatan ini hanya mampu mengeluarkan tenaga dalam amaun sederhana dan pelbagai ujian perlu giat dilakukan.

"Ini satu permulaan yang begitu mengujakan," kata salah seorang pengkajinya, Brian Dempsey.

Kosmo!