Bekas Presiden Indonesia menghembuskan nafas terakhir di sisi enam anak
JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Suharto, meninggal dunia semalam akibat kegagalan pelbagai organ dalaman selepas keadaan kesihatannya tidak menentu sejak dimasukkan ke hospital pada 4 Januari lalu.
"Ayah sudah meninggal dunia," kata anak sulungnya, Siti Hariyanti Rukmana yang lebih dikenali sebagai Tutut, kepada pemberita sejurus bekas pemimpin itu menghembuskan nafas terakhirnya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah, Dicky Sondani mengumumkan, Suharto meninggal dunia pada jam 1.10 petang waktu tempatan (2.10 petang waktu Malaysia) tetapi enggan mengulas lanjut.
Beberapa agensi berita sebelum itu melaporkan Suharto, 86, berada dalam keadaan koma selepas mengalami kegagalan pelbagai organ sejak malam kelmarin dan terpaksa diberi bantuan pernafasan.
Setiausaha Kabinet, Sudi Silalahi mengumumkan Indonesia mengisytiharkan tempoh berkabung tujuh hari bermula semalam sebagai menghormati kematian bekas pemimpin itu.
PENGHORMATAN TERAKHIR: Presiden Susilo (dua dari kiri) bersama keluarga Suharto berdoa di hadapan jenazah bekas presiden itu di Jakarta, semalam.
Suharto yang menjadi Presiden Indonesia selama 32 tahun sehingga 1998, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pertamina, di sini, di sisi enam anaknya.
Jenazah Allahyarham dibawa balik ke kediamannya di Jalan Cendana, Menteng, di sini, kira-kira jam 2.55 petang dan disambut tangisan beribu-ribu pelawat.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono turut menziarahi jenazah bekas presiden itu di kediamannya petang semalam.
Susilo dalam kenyataannya berkata: "Bagi pihak negara, rakyat, Kerajaan Indonesia dan diri saya secara peribadi, kami mengucapkan takziah atas pemergian bekas presiden Suharto.
"Saya mengajak semua rakyat Indonesia mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman manakala usaha dan dedikasinya terhadap negara ini diterima Allah. Suharto memberi sumbangan bakti dan jasa besar kepada negara."
Jenazah Suharto dimandi, dikapan dan disembahyangi petang semalam dan akan dikebumikan di kompleks pemakaman keluarganya di Astana Giribangun, Jawa Tengah.
Pengebumian Suharto yang juga bekas jeneral tentera, dijadual diadakan pada jam 8.30 pagi ini waktu tempatan dengan diketuai Susilo. Allahyarham akan dikebumikan di sisi pusara isterinya, Ibu Tien.
Suharto mengalami kegagalan organ buat kali pertama seminggu selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang namun pulih beberapa hari kemudian dengan doktor yang merawatnya kagum dengan semangat beliau untuk pulih.
Sejak seminggu lalu, kumpulan pakar yang merawatnya bercakap mengenai peluang bekas pemimpin itu untuk pulih tetapi semalam semuanya berubah.
Dikenali sebagai antara lelaki gagah Asia pada kurun ke-20, Suharto meletak jawatan pada 1998 berikutan huru-hara dan tunjuk perasaan besar-besaran yang tercetus akibat krisis ekonomi Asia 1997-1998.
Pelbagai pihak masih berdebat mengenai pendekatan Allahyarham ketika menerajui pemerintahan Indonesia yang turut memperlihatkan negara itu menikmati pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.
Selepas melepaskan jawatan, Allahyarham lebih banyak memencilkan diri di kediamannya di sini dan berjaya mengelak perbicaraan jenayah atas dakwaan rasuah berikutan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Allahyarham juga terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana masalah jantung dan pendarahan dalaman. Doktor yang merawat beliau berkata, dua serangan angin ahmar menyebabkan Suharto mengalami beberapa kerosakan otak kekal.
- Agensi