Rabu, 30 Januari 2008

Too Phat akhirnya berkubur


JOE FLIZZOW dan Too Phat, satu nama yang tidak asing lagi di dalam arena seni suara tempatan. Genre lagu hip hop yang diperjuangkan mereka di sambut baik oleh peminat muzik tempatan.

Apatah lagi, mereka sering saja di angkat sebagai kumpulan hip hop terbaik yang pernah muncul dalam industri seni tempatan.

Malah, muzik mereka juga merentasi sempadan Asia sehingga ke Timur Tengah dan juga Amerika.

Namun, kegemilangan Too Phat semakin merundum tatkala Joe dan Malique dikatakan tidak lagi sehaluan.

Kesempatan menemui Joe pada satu majlis sidang media baru-baru ini, telah melerai segala persoalan yang bersarang di benak fikiran tentang hubungannya bersama sahabat baiknya Malique dan hala tuju kumpulan Too Phat yang kini kian kabur.

"Setakat hari ini apa yang boleh saya beritahu, hubungan kami masih lagi baik cuma tidak berbual sahaja, saya tidak bermusuh atau pun tidak puas hati dengan Malique.

"Dia sahabat saya dan hubungan kami macam adik-beradik. Tetapi setelah hampir 10 tahun bersama, kami memerlukan ruang untuk berkembang dan ia bukan bermaksud kami bertengkar.

KOSMO! difahamkan kini Joe dan Malique sedang mengusahakan album solo masing-masing dan ini membawa petanda bahawa kumpulan Too Phat bakal berkubur dan tidak akan muncul lagi dengan album baru.

"Sebenarnya saya buat album solo kerana kontrak kami bersama EMI telah tamat dan ini dikira sebagai projek khas masing-masing.

"Saya minat pada muzik dan ingin kembangkan lagi muzik saya, jadi apa salahnya lahirkan album solo kerana sasaran saya bukan sahaja untuk pasaran tempatan sahaja tetapi juga peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.

Apabila ditanya lagi masih adakah lagi album Too Phat selepas ini, Joe menjawab : "Itu saya tidak tahu lagi, tetapi jika 10 tahun lagi kami ingin muncul dengan album reunion siapa tahu. Buat masa sekarang saya tidak boleh berjanji tentang album Too Phat.

Joe juga yakin peminat Too Phat masih wujud, dan jika mereka berdua mengeluarkan album solo masing-masing, pastinya peminat terpaksa memilih salah satu antara mereka.

"Bila album solo saya dan Malique keluar, peminat Too Phat sememangnya terpaksa memilih salah satu antara kami tetapi jika mahu menyokong kami berdua pun itu sudah cukup bagus," katanya lagi.

Joe yang melihat dirinya sebagai penyanyi baru apabila album solonya muncul, mengatakan dia ingin menguasai genre irama hip hop tempatan dan menegaskan dia seharusnya terpaksa bersaing dengan sahabat baiknya itu.

"Biasalah persaingan secara sihat untuk melahirkan album yang berkualiti itu sahaja kerana saya tahu peminat saya juga adalah peminat Malique," luahnya lagi.

Album solo yang diterbitkannya di bawah labelnya sendiri Kartel Record Sdn. Bhd, dijangka bakal menemui peminat sekitar bulan Mei tahun ini.

Tambahnya lagi, album yang diberi judul Presiden itu juga hasil karyanya sendiri bersama beberapa sahabatnya termasuk DJ T-Bone yang banyak membantu Joe semasa di zaman kegemilangan Too Phat lagi.

"Semua lirik dalam album ini saya buat sendiri cuma lagu banyak dibantu oleh rakan-rakan yang lain," jelasnya mengenai album yang memuatkan 15 buah lagu itu.

Menurutnya, album sulungnya itu bakal menyelitkan lima buah lagu Melayu dan selebihnya lagu berbahasa Inggeris sesuailah dengan sasarannya untuk memasarkan album itu di Amerika.

"Jika album ini mendapat sambutan dan diterima dengan baik di sana (Amerika), berkemungkinan besar saya akan berhijrah untuk mengukuhkan lagi nama saya di Amerika.

"Itu hanyalah perancangan saya sahaja, belum tentu ia akan terjadi, tetapi saya harapkan yang terbaik untuk album solo ini," katanya lagi yang turut melahirkan sebuah kumpulan bernama Sakti di bawah labelnya sendiri.

Bicaranya lagi, kumpulan yang diasaskan oleh adiknya Asraf, akan muncul dengan album pertama mereka pada bulan April ini.

Oleh HARYATI KARIM
Kosmo!