Rabu, 2 Januari 2008

Tun Teja meninggal dunia dalam pelarian


Isteri Sultan Mahmud gering ketika dibawa rombongan lari daripada serangan Portugis

"Tun Teja Ratna Benggala,
Pandai membelah lada sulah,
Jika tuan tidak percaya,
Mari bersumpah kalam Allah,"

BEGITULAH bunyi pantun yang dipersembah oleh Hang Nadim kepada Tun Teja, anak Bendahara Pahang yang cantik jelita pada akhir abad ke-15 ketika ditanya sama ada beliau akan dipersembahkan kepada Raja Melaka dan tidak dibawa lari untuk diperisterikan. Pantun empat kerat ini cukup sinonim dengan tokoh seri kandi ulung dalam sejarah Melayu, iaitu Tun Teja atau nama sebenarnya Tun Teja Ratna Benggala.

Namanya terkenal sebaris dengan nama seperti Tun Fatimah dan Tun Kudu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini kerana ketiga-tiga wanita pahlawan itu mampu membangkitkan semangat keperwiraan di kalangan wanita Melayu dalam usaha mempertahankan negeri Melaka daripada serangan Portugis pada zaman itu.

Bagi penduduk Melaka, Tun Teja tidak asing kepada mereka kerana nama itu diabadikan pada makamnya di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau, Melaka (dulu dikenali sebagai Solok Tun Teja atau Menteja) yang mempunyai keunikan tersendiri kerana terletak di tengah-tengah sawah. Namun begitu, pengunjung tidak menghadapi masalah untuk menziarahinya melalui siar kaki yang dibina dengan cantik menuju ke makam.

Makam itu turut dijaga dengan rapi dihiasi dengan pokok bunga di sepanjang laluan masuk dari simpang jalan utama. Ia kini dikelolakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Hiasan bunga yang indah dan segar itu melambangkan kejelitaan Tun Teja yang berjaya menawan hati Sultan Melaka pada zaman itu.

Menurut cerita beberapa penduduk kampung, kawasan sawah menghijau itu asalnya kebun getah di kawasan tanah tinggi. Selain makam Tun Teja yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan raya, ada makam lain di sebelah kanan kira-kira 50 meter yang tidak diketahui asal usulnya tetapi mengikut penduduk, makam berkenaan dipercayai milik dayang serta pengikut Tun Teja yang meninggal dunia selepas melarikan diri dari Melaka.

Seorang pengkaji sejarah Makam Tun Teja, Baharom Azit, 65, berkata mengikut sejarah Melayu, Tun Teja yang digelar 'Ratna Benggala' yang bererti intan pertama dari Benggala, anak puteri Seri Amar Bangsa Diraja, Bendahara Pahang pada abad ke-15. Sejarah Melayu juga menggambarkan dengan jelas bagaimana Tun Teja direbut daripada tangan tunangnya, Yang Dipertuan Pahang, Sultan Ahmad Syah (1474-1494) oleh Hang Nadim untuk diperisterikan Sultan Mahmud Syah (1488-1511).

Sultan Ahmad Syah yang menerima beberapa penghinaan dari Melaka, yang terakhir tunangan baginda, Tun Teja diculik hulubalang negeri itu berasa sangat malu kepada rakyatnya lalu bertindak turun takhta dan mengasingkan diri di Lubok Pelang. Selepas mangkat, baginda disebut sebagai Marhum Syeikh. Tun Teja pula menjadi isteri Sultan Mahmud yang dikasihinya dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang puteri bernama Puteri Amra Dewi.

Tidak diketahui pula dengan jelas kisah hidup puteri Amra Dewi kerana tiada dalam mana-mana catatan sejarah tanah air. Bagaimanapun, dipercayai puteri Amra Dewi tinggal bersama Sultan Mahmud hingga baginda melarikan diri ketika Portugis menyerang Melaka pada 1511. Sejarah turut mencatatkan ketika Melaka diserang Portugis dari Julai hingga Ogos 1511, Sultan Ahmad, putera Sultan Mahmud bertindak sebagai ketua. Sultan Mahmud pula bersemayam bersama-sama isteri-isterinya di Istana Kayu Ara.

Kebetulan, pada waktu itu Tun Teja sedang uzur sehingga tidak boleh berjalan. Selepas Portugis berjaya mendarat, pembesar Melaka menasihatkan sultan supaya berundur ke Bentayan (sekarang Muar). Sultan Mahmud kemudian mengarahkan pembesar Melayu Melaka, beberapa perwira dan pengawalnya, dayang, isteri-isterinya termasuk Tun Teja meninggalkan negeri itu.

Melihatkan keadaan Tun Teja yang begitu uzur, Sultan Mahmud memerintahkan orangnya membina sebuah tandu khas. Dengan tandu itulah Tun Teja diusung untuk ke Bentayan dan di antara pembesar yang turut sama dalam rombongan itu ialah Seri Nara Diraja Tun Hamzah dan Sang Sura.

Seri Nara Diraja Tun Hamzah adalah penasihat sultan manakala Sang Sura adalah pembesar kesayangan dan tugas utamanya ialah memastikan keselamatan rombongan itu.

Sultan Mahmud dan pengikutnya dikatakan melarikan diri menggunakan jalan melalui darat. Ada peminat sejarah mengatakan bahawa Tun Teja mangkat ketika dalam perjalanan itu sebelum dimakamkan di sekitar Muar. Yang menjadi persoalan ialah ada pendapat yang mengatakan makam Tun Teja di Muar itu terletak di beberapa tempat berasingan, termasuk di Mukim Parit Sulong, Batu Pahat.

Baharom yang juga bekas guru berkata, tidak mungkin rombongan itu mengikut jalan laut kerana tentera laut Portugis berkeliaran dan berulang-alik menggunakan Selat Melaka. Katanya, Sultan Mahmud dan rombongannya dipercayai menggunakan jalan darat menerusi kampung di pinggir pantai seperti di Batu Hampar, Duyong, Kandang dan Umbai sebelum terus ke Muar melalui Serkam, Merlimau, Sebatu dan Kesang.

"Mereka tidak akan menggunakan jalan pedalaman kerana sejarah mencatatkan rombongan beliau menuju ke Kuala Muar dan kemudian ke Pagoh.

"Sebaliknya jika baginda menggunakan jalan darat di kawasan pedalaman Melaka dan Johor, rombongan itu akan terus ke Pagoh dan tidak perlu lagi ke Muar," katanya yang mula mengkaji sejarah mengenai Tun Teja sejak awal 1980-an.

Baharom yang menetap di Kampung Merlimau berkata, bukti menunjukkan rombongan itu menggunakan jalan darat di pinggir pantai kerana keadaan Tun Teja yang tenat dan terpaksa ditandu ke Kuala Muar seperti digambarkan di bawah:

"Setelah beberapa hari berjalan menuju ke Muar, pada suatu tempat yang tidak berapa jauh dari tepi pantai, lalu dengan perintah Sultan Mahmud angkatan itu berhenti di situ. Baginda menyuruh membuat tempat perhentian. Kata baginda kepada Sang Sura dan Seri Nara Diraja, berjaga-jagalah kita di sini sehari dua, beta berasa dinda beta Tun Teja harus sudah sampai saatnya."

Daripada catatan di atas dapat disimpulkan bahawa Tun Teja sangat tenat dan terpaksa direhatkan di suatu tempat. Tempat itu tidak diketahui tetapi berdasarkan kesimpulan yang dibuat, ia adalah di antara Melaka dengan Muar. Tempatnya juga di tepi pantai dan bukan jauh di pedalaman. Tentu sekali tempat rehat berkenaan adalah satu kawasan yang sesuai untuk berehat.

Baharom yang turut membuat kajian mengenai Rumah Tradisional Merlimau, Perang Rokam, Makam Hang Tuah, Rumah Munsyi Abdullah termasuk Umno Sebelum Merdeka berkata, jelas sekali Tun Teja meninggal dunia di suatu tempat tidak jauh dari pantai di antara Melaka dengan Muar.

Katanya, kemangkatan Tun Teja itu dimaklumkan kepada semua ahli rombongan Sultan Mahmud.

"Seri Naha Diraja kemudian mencadangkan Tun Teja dimakamkan di tempat itu kerana perjalanan ke Muar masih jauh dan untuk mengusung jenazah Tun Teja akan mengambil tempoh yang lama. Ini akan menyeksakan mayat itu.

"Cadangan Seri Nara Diraja dipersetujui oleh Sultan Mahmud lalu memerintahkan berhenti di situ selama tiga hari untuk menguruskan pengkebumian jenazah Tun Teja. Jenazahnya selamat dikebumikan dalam keadaan yang serba sederhana.

"Makamnya diletakkan satu kawasan tanah tinggi yang dianggap lebih istimewa daripada kawasan lain. Pada pagi hari keempat setelah membaca doa, sultan menziarahi makam Tun Teja diiringi oleh semua anak isteri serta pengikutnya dan selepas itu bertolak ke Muar," katanya.

Dipercayai sepasang nisan diraja dipacakkan di atas makam Tun Teja sebagai tanda kemangkatannya. Mengikut tradisi kerajaan kesultanan Melayu, nisan adalah salah satu barang penting yang dibawa bersama-sama ketika seseorang sultan atau pembesar itu dalam pelarian.

Oleh kerana nisan menjadi satu khazanah diraja yang sangat diagungkan, tidak hairanlah ada beberapa pasang batu nisan sama ada yang bertulis atau tidak, turut dibawa bersama-sama.


INFO: Ayat di batu nisan Makam Tun Teja

Ada empat ayat di batu nisan itu diterjemahkan ke dalam bahasa rumi berbunyi:


"La illaha illa'llah
Muhammad darasul ullah
(Barisan ini tidak dapat dibaca)
Rabbana wa rabbil halaqul aj ma'in."

Ini dapat diterjemahkan sebagai:

"Tiada Tuhan lain yang disembah melainkan Allah
Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
(Barisan ini tidak dapat dibaca)
Wahai Tuhan kami dan Tuhan segala makhluk sekalian."


Tiada nama, tarikh pada makam srikandi

JIKA dianalisis daripada catatan yang terpahat pada batu nisan di makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau, Melaka, dapat disimpulkan bahawa semua yang tercatat mengandungi doa memuji Allah. Bagaimanapun, tidak ada tarikh atau nama pada batu nisan terbabit.

Selain itu, seperti yang dinyatakan, nisan berkenaan adalah kepunyaan seorang wanita istana. Punca tidak ada nama dan tarikh pada batu nisan itu belum diketahui, tetapi ada kemungkinan keadaan pada masa itu tidak mengizinkan kerana rombongan sultan sedang melarikan diri dari Portugis.

Biasanya nama dan tarikh meninggal dunia pada sesebuah batu nisan milik pembesar hanya dibuat jika keadaan aman. Jika berlaku peperangan atau sebarang keadaan huru-hara, tempoh untuk menyediakan batu nisan yang lengkap adalah sukar kerana ia perlu ditempa, selain kerja memahat nama dan lain-lain ayat memerlukan tukang yang mahir.

Sebab itu, untuk memudahkan sultan, nisan ditempa terlebih dulu dan ini bermakna sememangnya tersimpan nisan yang sudah disiapkan. Mengikut karya Sheikh Nuruddin Al Raniri iaitu Bustan Al-Salatin ada menjelaskan seorang putera Pahang bernama Ahmad Syah meninggal dunia di Aceh. Sultan Aceh pada waktu itu, Sultan Alauddin Mughayat Syah, menghantar satu rombongan ke Pahang untuk mengambil batu nisan untuk keturunannya itu.

Ini membuktikan bahawa sebelum seseorang itu mati nisannya sudah sedia menunggu manakala di istana juga sudah ada beberapa pasang nisan untuk kegunaan raja dan keturunannya. Batu nisan yang tidak mempunyai nama seperti di makam Tun Teja banyak terdapat bukan saja di Tanah Melayu malah di Kemboja, Sumatera dan Jawa.

Selain Merlimau, ada penduduk di beberapa kawasan lain mendakwa makam Tun Teja sebenarnya berada di tempat lain. Contohnya, Tun Teja dimakamkan di Kesang Laut, Muar. Malangnya dakwaan itu tidak mempunyai bukti kukuh.

Ia hanya berpandukan kepada tradisi lisan penduduk setempat. Makam berkenaan hanya ditandakan dengan dua ketul batu merah biasa.

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
Berita Minggu