Cara Shah Rukh Khan lalui kisah suka duka dalam kehidupan seni
ORANG mengenal Shah Rukh Khan sebagai 'Raja Bollywood'. Siapapun yang menjadi Raja Bollywood tentulah menjadi jenama terpenting kesenian popular India. Memang pelakon seperti Rajnikath dari Kollywood (industri filem Tamil di Tamil Nadu) mendapat bayaran lebih besar daripada pelakon Hindustan atau Hindi (untuk filem Sivaji - The Boss dia dibayar RM12.7 juta) tetapi nama itu hanya dikenal di kalangan peminat industri filem Tamil yang bernilai RM1.8 bilion setahun.
Shah Rukh seperti juga pemain bola sepak David Beckham, menjadi mesin publisiti luar biasa melalui jualan barang dan perkhidmatan. Menurut satu sumber agensi pengiklanan, di antara 1994 dan 2006, Shah Rukh muncul di dalam 181 iklan cetak dan 172 iklan TV. Pada 2005 saja beliau 'menjual' 34 jenis produk yang berbeza. Tidak ada pelakon Hindi yang boleh menandingi beliau dalam iklan. Pelakon legenda Amitabh Bachchan sendiri menolak untuk muncul dalam iklan selama lebih 20 tahun. Beliau kali pertama menjual produk hanya pada 1996.
Shah Rukh muncul dalam jenama seperti minuman Pepsi hingga jam Tag Heuer, tetapi tidak seperti penyanyi Michael Jackson atau pelakon Brad Pitt, bayaran untuk Shah Rukh Khan jauh lebih murah. Dengan hanya kira-kira RM38,500 Shah Rukh menjual jenama terkenal dunia. Mungkin alasannya kerana tiga perempat rakyat India tidak mengenal jenama seperti Tag Heuer. Lagi pun, daripada 550,000 desa di India, banyak yang tidak disentuh oleh pembangunan. Banyak pula rakyat negara itu yang hidup dengan kurang daripada satu dolar sehari (RM3.5), penanda aras kemiskinan tegal.
Maka itu filem memainkan peranan yang penting. Setiap hari 15 juta manusia menonton filem di 13,000 pawagam di seluruh India. Bollywood mengeluarkan 200 filem setahun atau satu perempat daripada lebih 800 buah filem yang dikeluarkan oleh India dalam pelbagai bahasa.
India mempunyai 23 bahasa rasmi dan lebih 2,000 bahasa sukuan. India juga adalah negara ketujuh terbesar di dunia dan yang kedua teramai dari segi penduduk. Industri hiburan sebenarnya memperkenalkan India pada dunia. Lebih 3.6 bilion tiket untuk filem India dijual setahun, melebihi jumlah tiket untuk filem Hollywood. Filem India disasarkan pada lebih 1.1 bilion rakyatnya dan kira-kira 20 juta manusia keturunan India di 200 negara di dunia.
Orang Melayu di negara ini sudah mengenal filem India, khususnya Hindi sejak sekian lama - nama pelakon seperti Raj Kapoor, Jayanthimala, Dilip Kumar, Mumtaz, Rajesh Khanna dan kemudiannya Amitabh, Shah Rukh, Amir Khan, Salman Khan, Aishwarya Rai dan Rani Mukherji.
Tidak banyak orang yang mengetahui cerita sebenar di sebalik fenomena bernama Shah Rukh. Tidak banyak yang mengetahui apa yang dilalui oleh beliau dalam mempertahankan kedudukan beliau di Bollywood. Bagi saya, kisah hidup pelakon ini patut difahami untuk mengetahui betapa luar biasanya dunia kesenian dari India. Bagaimana tradisi kesenian itu mencorakkan sikap dan pandangan dunia terhadap India.
Di antara sekian banyak buku mengenai pelakon ini, saya meletakkan King of Bollywood: Shah Rukh Khan and the Seductive World of Indian Cinema sebagai yang terbaik. Penulisnya Anupama Chopra, seorang pengkritik filem yang terkenal bukan saja melihat kebangkitan dan kejatuhan Shah Rukh tetapi mengaitkannya dengan industri filem Bollywood itu sendiri.
Tidak banyak orang yang mengetahui bahawa Shah Rukh datang daripada keluarga pejuang kebangsaan India. Pada masa itu, India termasuk di dalamnya wilayah yang dikenali sebagai Pakistan dan Bangladesh hari ini. Keluarga Shah Rukh bertapak di Peshawar, sebuah bandar yang bersempadan dengan Afghanistan. Ayah Shah Rukh, Meer Taj Mohammad seperti adik beradiknya yang lain menjadi aktivis menentang Inggeris. Mereka menyokong Parti Kongres India (PKI) yang menuntut kemerdekaan dari Britain. India merdeka pada 1947 tetapi dengan perpecahan India dan Pakistan dan kerana sokongan mereka terhadap PKI, Meer diharamkan masuk ke Pakistan buat beberapa lama. Meer menjadi pelajar undang-undang di Universiti Delhi pada 1946.
Shah Rukh lahir pada 2 November 1965 di New Delhi daripada perkahwinan Meer dengan Fatima. Sebelum itu mereka memperoleh anak perempuan bernama Shahnaz Lala Rukh. Amitabh mengambil alih teraju Raja Hollywood daripada Dilip Kumar apabila Shah Rukh membesar. Melalui filem seperti Zanjeer, Sholay dan Deewaar, Amitabh memperkukuh kedudukannya. Shah Rukh mula menjadi pelakon filem pada tahun Amitabh mengumumkan 'pengunduran sementara' daripada filem. Amitabh menjadikan filem Khunda Gawah (1992) sebagai titik tolak waktu istirahat dan muncul semula lima tahun kemudian dengan Mrityudaata.
Filem Deewana (yang diedarkan pada Jun 1992) adalah filem Shah Rukh yang pertama. Walaupun Shah Rukh hanya muncul dalam bahagian kedua filem itu, penonton filem Hindi menemui hero baru mereka. Sebelum itu Shah Rukh aktif di pentas teater dan mencipta nama di TV.
Kita tahu apa yang berlaku pada Shah Rukh selepas itu. Filem seperti Darr dan Baazigar menunjukkan keupayaan sebenar beliau. Pengalaman di Malaysia menunjukkan bagaimana Shah Rukh menarik semula minat terhadap filem Hindi. Buat beberapa waktu formula lapuk filem Hindi tidak laku lagi di sini, sehinggalah muncul Kuch Kuch Hota Hai. Bagaimanapun, sebelum itu, Shah Rukh menulis semula hukum hakam perfileman Hindi dengan Dilwale Dulhania La Jayenge yang diedarkan pada Oktober 1995. Filem ini memecahkan rekod tayangan di mana-mana, malah mengalahkan pungutan tiket untuk Sholay, filem terhebat Amitabh. Selepas itu beliau mencipta rekod lagi dengan Dil To Pagal Hai.
Kuch Kuch Hota Hai yang difilemkan pada Oktober 1997 dan diedarkan pada 1998 memberikan wajah baru pada filem Hindi. Kali ini fesyen memainkan peranan penting. Sesuai dengan imej ikon global yang mahu diperagakan oleh Shah Rukh, filem ini menampakkan usaha pertama secara serius untuk mendekati generasi muda. Fesyen menentukan Kuch Kuch Hota Hai, bukan sekadar cerita dan lagu saja, filem arahan pertama Karan Johar ini menggunakan jenama Gap, DNKY, Polo Sports dan lain-lain. Pelik juga Shah Rukh yang berusia 33 tahun waktu itu membantu mencorakkan selera fesyen untuk golongan Yuppies.
Bagaimanapun, tidak ada raja yang bertahan lama di takhta Bollywood, Shah Rukh tidak terkecuali. Filem Phir Bhi Dil Hai Hindustani yang diedarkan pada Januari 2000 oleh syarikat bersama milik Shah Rukh, Juhi Chawla dan penerbit Aziz Mirza gagal di pasaran. Sebuah filem yang jauh lebih murah menawan hati peminat filem Hindi - Kaho Naa...Pyaar Hai. Filem memperkenalkan pelakon muda Hrithik Roshan yang melanda industri itu sebagai tsunami.
Industri filem boleh menjadi kejam pada pemainnya - termasuk Amitabh dan Shah Rukh. Amitabh pernah menghadapi masalah kewangan yang serius, Shah Rukh tidak terkecuali. Menurut buku ini, pada saat sukarnya beliau terdesak untuk melepaskan banglo yang dikenal sebagai Mannat yang dibina untuk isterinya Gauri. Sebuah syarikatnya, Srkworld.com juga harus ditutup. Kecaman terhadap beliau akibat kegagalan Phir Bhi Dil Hai Hindustani benar-benar melukakan hatinya.
Mungkin keupayaannya sebagai pelakon tidak banyak terjejas dengan munculnya Devdas, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham dan paling akhir Kabhi Alvida Naa Kehna (2006). Semua filem terbaru ini meletup di pasaran. Kisah hidup pelakon ini belum berakhir. Setakat ini belum ada siapa yang dapat menumbangkan kedudukannya atau Brand Shah Rukh di Bollywood. Beliau kini sudah mencecah 42 tahun, terbabit dalam filem selama 15 tahun dan berlakon dalam lebih 50 filem. Bagaimanapun, dalam industri yang sukar diduga dan penuh intrig, tiada siapa yang akan mengetahui kesudahannya.
Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu