Rabu, 2 Januari 2008

Pendidikan terbaik bukan hanya di sekolah asrama penuh


SUDAH menjadi kelaziman setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, ramai pelajar cemerlang yang mendapat A dalam semua subjek memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Ibu bapa juga begitu ghairah untuk menghantar anak mereka ke SBP kerana berpendapat sekolah berkenaan mampu melonjakkan pencapaian anak mereka untuk kekal cemerlang atau mencapai keputusan lebih baik pada peperiksaan berikutnya. Sebenarnya anggapan kononnya hanya sekolah berasrama penuh adalah berprestij perlu diubah kerana kejayaan dalam pendidikan bukan ditentukan oleh sekolah semata-mata. Sebaliknya ia bergantung kepada daya usaha pelajar dengan bantuan dan sokongan guru, pengetua sekolah dan ibu bapa sendiri. Tempat di SBP juga terhad dan pengambilan pelajar bukan saja dibuat berdasarkan pencapaian akademik, tetapi juga pembabitan mereka dalam kokurikulum. Kalau dibandingkan jumlah pelajar cemerlang dengan bilangan SBP, kita akan mendapati memang wujud kekurangan sekolah berbanding pelajar yang mencapai keputusan terbaik.

Dalam peperiksaan PMR tahun ini, seramai 27,668 atau 5.9 peratus calon mendapat Gred A bagi semua mata pelajaran, berbanding 20,154 (4.5 peratus) tahun lalu dan 20,101 (4.9 peratus) pada 2005. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata peningkatan itu menunjukkan sistem pendidikan kebangsaan berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang. Sekali gus daripada statistik berkenaan, kita memerhatikan bahawa bukan semua pelajar cemerlang datangnya dari SBP. Ini bermakna sekolah menengah kebangsaan (SMK) juga mampu melahirkan pelajar cemerlang yang juga sama hebat dengan pelajar SBP. Jadi dalam keadaan begini, mengapakah selepas mendapat keputusan cemerlang, mereka ghairah pula untuk ke SBP? Apakah mereka tidak ingin terus mencemerlangkan SMK yang berjasa kepada mereka selama ini? Apakah pencapaian cemerlang itu tidak menandakan bahawa SMK juga mampu melahirkan pelajar berkualiti tinggi?

Bagaimanapun, keghairahan pelajar serta ibu bapa untuk ke SBP seharusnya memberi cabaran kepada pengurusan dan guru SMK untuk mempertingkatkan serta membaiki mutu pengajaran dan pengurusan sekolah. Selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran untuk mempertingkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di sekolah, pengurusan SMK perlu mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan kecemerlangan pelajar sentiasa konsisten dan berada pada tahap optimum. Guru dan pengetua sekolah mesti bersama mengatur strategi supaya kualiti pembelajaran menepati Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Kita percaya masyarakat menaruh keyakinan yang tinggi terhadap langkah kementerian untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan di SMK sejajar dengan SBP dan sekolah bestari seperti yang dirangka dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Apa juga langkah kementerian mahupun pihak sekolah diharap mendorong pelajar serta ibu bapa untuk terus meyakini kemampuan SMK dalam menimba ilmu. Anggapan kononnya hanya SBP sekolah yang terbaik harus dikikis. Kejayaan sebenarnya datang daripada sikap serta azam pelajar itu sendiri untuk berjaya dan bukannya dari sekolah mana datangnya pelajar berkenaan. Selamat maju jaya dan tahniah kepada pelajar mendapat pencapaian terbaik dalam PMR baru-baru ini.

Berita Harian