Pemetik api yang diberi nafas baru boleh menyerupai apa sahaja daripada papan selaju dan telefon bimbit hinggalah bentuk haiwan dan serangga.
KATAK plastik dengan mata tersembul mungkin boleh menjadi barang mainan kanak-kanak, tetapi apabila ia adalah pemetik api, produk itu dianggap bahaya untuk kanak-kanak.
"Ia seperti sesuatu yang boleh anda dapati menerusi Happy Meal di McDonald. Ia amat comel dan kecil tetapi boleh mengundang bahaya," kata Presiden Persatuan Kebangsaan Ketua Bomba Negeri, John Dean.
Kumpulan Dean menyokong usaha mengharamkan penggunaan pemetik api baru yang mempunyai pelbagai bentuk di seluruh Amerika Syarikat.
Di California, Washington dan Arkansas, ordinan tempatan membenarkan seseorang menyimpan pemetik api di tempat terbuka di dalam kedai.
Pemetik api yang diberi nafas baru boleh menyerupai apa-apa bentuk daripada papan selaju dan telefon bimbit hinggalah bentuk haiwan dan serangga.
Setengahnya dinyala dan boleh mengeluarkan bunyi termasuk katak hijau kecil yang membangkitkan bunyi 'ribbit' apabila apinya dinyalakan.
"Ia kelihatan seperti permainan, jadi kanak-kanak bermain dengannya sedangkan ia boleh menyebabkan kecederaan atau mungkin juga kematian," kata Senator Negeri Iowa, Keith Kreiman.
Kesatuan Eropah telah mengharamkan pemetik api sedemikian yang keseluruhannya dibuat di China. Pegawai bomba pula bimbang pengeluar akan cuba untuk memasarkannya di Amerika Syarikat.
"Apa yang saya fikir berlaku sekarang ialah kita tidak dapat menghalang penjualan pemetik api sebegini. Malah, kita sentiasa dapat melihatnya," kata Judith Okulitch.
Agensi Okulitch merupakan antara kumpulan yang pertama melahirkan kebimbangan mengenai penggunaan pemetik api yang diperbaharui ini.
Pengedar barang ini mempertahankan tindakan mereka dan berkata, ia dipasarkan untuk golongan dewasa. Jadi, terpulang kepada ibu bapa untuk memerhati anak-anak mereka.
"Pisau dapur dan banyak lagi barang-barang berbahaya yang boleh mencederakan kanak-kanak tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti pemetik api kami," kata John Gibson, pemilik San Louis Obispo dan mempunyai perniagaan John Gibson Enterprises Inc. yang berpangkalan di California. Syarikat itu mengedarkan pemetik api tersebut.
Gibson berkata, kesemua pemetik api yang diedarkan telah diuji untuk keselamatan kanak-kanak dan dalam banyak kes, ia ternyata lebih selamat berbanding pemetik api biasa.
Namun, pemetik api berbentuk seperti motosikal kecil dipersalahkan kerana menjadi punca kematian dua kanak-kanak di Arkansas, tahun lalu.
Pada tahun lalu juga, seorang wanita di Oregon rentung apabila anak kecilnya mencucuh tilam dengan pemetik api berbentuk muka Santa Claus di atas pokok Krismas, menurut kenyataan dari pejabat Okulitch.
Januari lalu, Laura Fowler dari Gladwin, Michigan mahu memberi hadiah buat anaknya yang berusia empat tahun kerana membersihkan bilik. Tanpa sengaja, dia telah membelikan pemetik api tersebut kerana memikirkan ia permainan 'Dalmation dog'.
Kanak-kanak itu sedang bermain dengan anjingnya apabila Fowler terlihat percikan api dan menyedari bahawa itu adalah pemetik api. Kanak-kanak itu tidak cedera tetapi Fowler berkata ia menakutkan mereka.
Dean dan beberapa pegawai bomba yang lain memuji pengumuman yang dibuat oleh Lighter Association baru-baru ini yang mengatakan mereka menyokong undang-undang untuk mengharamkan pemetik api sebegitu.
Dean yang turut berkhidmat sebagai ketua bomba negeri Maine mencadangkan supaya pegawai bomba menunjukkan pemetik api berbentuk itu kepada penggubal undang-undang agar mereka boleh melihat apa yang boleh dilakukan oleh barang tersebut.
"Setiap kali saya memberi benda ini kepada sekumpulan orang dewasa, pasti seseorang akan 'terbakar' kerana tidak mengetahui dari mana api akan keluar atau bagaimana ia berfungsi.
"Oleh itu, jelas jika orang dewasa sendiri tidak dapat mengenalinya, apatah lagi kanak-kanak. Sudah pasti mereka juga tidak mengetahuinya."
- AP