BERITA baik buat mereka yang sering 'menangis' ketika mengupas atau menghiris bawang! Saintis-saintis di New Zealand dan Jepun telah menghasilkan sejenis bawang yang tidak memedihkan mata baru-baru ini. Berasaskan bioteknologi yang menghentikan gen pada enzim yang memedihkan mata, penemuan itu juga merungkai beberapa misteri mengenai bawang.
Institut pengkaji di New Zealand, Crop and Food telah menggunakan teknologi 'mensenyapkan gen' untuk menghasilkan bawang ini dan berharap akan mendapat sambutan hangat di pasaran dalam sedekad lagi.
Colin Eady, saintis kanan di institut berkenaan berkata, projek itu telah bermula pada tahun 2002 selepas saintis Jepun berjaya mengenal pasti gen yang bertanggungjawab menghasilkan ejen pemedihan.
"Pada awalnya, kami berfikir ejen pemedihan terhasil secara spontan apabila kita menghiris bawang, tetapi mereka telah membuktikan bahawa ia dikawal oleh sejenis enzim," katanya kepada AFP.
"Di New Zealand, kami mempunyai kebolehan untuk memasukkan DNA ke dalam bawang menggunakan teknologi mensenyapkan gen yang dibangunkan oleh saintis Australia.
"Teknologi berkenaan menghasilkan satu turutan yang menghentikan gen pencetus pemedihan dalam bawang. Jadi, ia tidak akan menghasilkan enzim berkenaan. Oleh itu, apabila anda menghiris bawang, ia tidak akan memedihkan mata."
Eady juga mendakwa, menerusi proses tersebut, ia telah memperbaiki rasa bawang.
"Kami menjangkakan khasiat dan rasa bawang akan lebih terserlah menerusi apa yang kami lakukan ini," ujarnya.
Eady, yang memiliki beberapa model tumbuhan bawang di institutnya berkata, walaupun prospek bawang tidak memedihkan mata ini mengujakan isi rumah, namun ia hanya akan menemui pengguna dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.
Kosmo!