Khamis, 28 Februari 2008

Pembangkang harus terima hakikat kerajaan lonjak ekonomi

JIKA dilihat pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menarik pelaburan dan merancakkan ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila pertumbuhan ekonomi berkembang 6.3 peratus sepanjang tahun lalu berikutan lonjakan pertumbuhan kukuh 7.3 peratus pada suku keempat 2007. Angka pertumbuhan tahun lalu melepasi unjuran rasmi kerajaan atau Bank Negara sebanyak 6 peratus. Pertumbuhan itu menafikan gambaran negatif yang dilemparkan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum kali ini.

Pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya mengeluarkan manifesto dengan janji mahu membentuk ekonomi mapan bagi negara, tetapi mereka gagal menghujahkan kaedah melakukannya. Pertumbuhan kukuh ekonomi dalam tempoh suku keempat tahun lalu adalah berikutan hasil permintaan dalam negara yang teguh didorong kegiatan perbelanjaan pengguna dan pelaburan swasta yang terus mapan. Ini diperkukuhkan lagi oleh perbelanjaan sektor awam yang terus meningkat. Kita menjangka pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus mapan tahun ini disokong permintaan dalam negara yang semakin meningkat walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana.

Pembangkang harus menerima hakikat bahawa pertumbuhan itu adalah yang tertinggi sejak Pilihan Raya Umum 2004. Tidak perlu berbalah mengenai keadaan ekonomi semasa kerana statistik jelas menunjukkan pertumbuhan mantap yang disokong oleh sektor pertanian dengan menyaksikan harga komoditi, khususnya minyak sawit, mencipta rekod ketinggian baru, serta sektor perlombongan yang harga minyaknya terus tinggi, serta sektor pembuatan. Andaian sesetengah pihak kononnya ekonomi tidak berkembang, mungkin disebabkan peningkatan kos hidup terutama yang tinggal di bandar, manakala bahangnya kurang terasa di luar bandar berikutan kenaikan harga sawit dan getah yang boleh menyerapkan kenaikan itu.

Itulah sebabnya mereka yang tinggal di bandar terutama golongan berpendapatan sederhana bagaikan menidakkan pertumbuhan ekonomi itu. Tetapi mereka lupa ia adalah trend sejagat berikutan kenaikan harga minyak di pasaran global hingga turut dirasai di Korea Selatan, Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura serta beberapa negara membangun lain. Apakah itu juga kita sanggup menyalahkan kerajaan kononnya gagal mengurus ekonomi negara.

Tidak ada mana-mana kerajaan demokrasi yang mahu menekan rakyat dengan menaikkan harga minyak dan sebagainya sesuka hati. Pas, PKR dan DAP bolehlah menjanjikan itu dan ini dalam manifesto masing-masing, tetapi mereka gagal untuk tampil dengan kaedah terbaik mengurus ekonomi. Oleh itu, pertumbuhan paling kukuh ekonomi negara pada suku keempat tahun lalu dan alirannya dijangka berterusan untuk suku pertama tahun ini, bermakna apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang adalah betul.

Rakyat harus memberi peluang kepada kerajaan ini untuk meneruskan agenda ekonomi yang cemerlang itu supaya perancangannya tidak terbantut. Hakikatnya, perkembangan itu memberi petanda baik bahawa pelabur yakin dengan pendekatan yang dilaksanakan kerajaan seperti transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta dasar mesra swasta. Kestabilan politik juga penting dalam menentukan perkembangan ekonomi negara. Jika tidak ada kestabilan politik dan negara tidak aman, sudah pasti pelabur tidak akan datang untuk melabur kerana matlamat mereka adalah untuk meraih keuntungan, seperti amalan perniagaan biasa.

Berita Harian