Ramai remaja hadapi tekanan kerana dipengaruhi iklan
LONDON: Satu tinjauan terbaru mendakwa masyarakat, khususnya ibu bapa bersikap materialistik terbukti merosakkan kanak-kanak dan anak muda sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka apabila terpaksa berdepan tekanan, termasuk terdesak memiliki pakaian berjenama dan permainan komputer terbaru di pasaran.
Malah, ramai beranggapan usaha 'mengkomersialkan zaman kanak-kanak' hanya menjejaskan persekitaran anak kecil terbabit.
Kajian GfK NOP bagi pihak Persatuan Kanak-Kanak di Britain dan Amerika Syarikat itu membabitkan temu bual ke atas 1,225 responden. Majoriti atau 89 peratus responden berasakan kanak-kanak hari ini bersikap jauh lebih materialistik berbanding generasi sebelumnya.
Tinjauan itu sebahagian daripada usaha mendekati zaman kanak-kanak hari ini, termasuk bukti dikemukakan profesional serta orang ramai berhubung isu gaya hidup, pembelajaran, rakan dan keluarga.
Antara bukti dikemukakan dalam tinjauan itu adalah kenyataan daripada mulut kanak-kanak terbabit yang mengakui mereka berdepan tekanan hebat memastikan diri seiringan dengan aliran semasa. Hasil lain menunjukkan 60 peratus responden mahukan kerajaan mengharamkan iklan makanan ringan dan hampir 7 daripada setiap 10 responden bersetuju yang permainan video ganas menjadikan kanak-kanak lebih agresif.
Keputusan penuh dan syor kajian itu akan disiarkan awal tahun depan.
Profesor Psikologi Kanak-Kanak Britain, Philip Graham yang mengetuai tinjauan bagi skop gaya hidup, yakin tekanan komersial sebaliknya memberi kesan psikologi yang membimbangkan terhadap kanak-kanak.
"Satu faktor yang menyebabkan peningkatan masalah kesihatan mental adalah ketaranya bagi kanak-kanak dan anak muda untuk memiliki sesuatu seperti pakaian atau fesyen terbaru di pasaran serta gajet elektronik yang popular pada masa ini.
"Apa membimbangkan, bukti dari Amerika dan Britain menunjukkan kebanyakan anak muda yang amat terpengaruh dengan tekanan iklan dan aspek komersial lain, juga mempengaruhi peningkatan masalah kesihatan mental."
Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Kanak-Kanak Britain Bob Reitemeier melihat hasil tinjauan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.
"Golongan dewasa perlu mengambil tanggungjawab daripada seawal mungkin, termasuk peka dengan taktik pasaran yang mensasarkan kanak-kanak.
"Perbuatan menyalahkan kanak-kanak sebagai terlalu materialistik adalah salah kerana puncanya turut disebabkan golongan dewasa.
"Kita perlu menyoal diri sendiri, tingkah laku ketika sebagai anggota masyarakat yang berisiko mewujudkan generasi lemah dengan terlalu mudah mengikut hati dan mementingkan trend masa kini semata-mata."
- Agensi