Khamis, 28 Februari 2008

Petugas kulit hitam diberi air kencing


JOHANNESBURG: Penduduk Afrika Selatan meluahkan kemarahan berikutan terdedahnya rakaman video menunjukkan kakitangan kulit hitam sebuah universiti dipaksa memakan gulai daging dicampur dengan air kencing oleh penuntut kulit putih. Video dalam bahasa Afrika itu dirakam di Universiti Free State, yang menyaksikan percampuran kaum mencetuskan ketegangan.

Aksi yang dirakamkan di tempat yang dulunya asrama Reitz untuk penuntut lelaki berkulit putih, bermula dengan ayat: “Satu ketika dulu, Boers hidup dengan aman di Pulau Reitz sehingga satu hari apabila kumpulan kurang maju menemui perkataan ‘perpaduan’ dalam kamus.”

Ia menunjukkan lima kakitangan kulit hitam, empat wanita dan seorang lelaki, meminum bir, bersaing sesama sendiri, dan mengambil bahagian dalam latihan ragbi dengan penuntut kulit putih, sebelum adegan memakan air kencing timbul. Melutut di tanah, kakitangan berkenaan dipaksa menelan bancuhan air kencing dari cawan plastik. Kebanyakan mereka muntah.

“Pada akhirnya, ini apa yang kami fikirkan mengenai perpaduan,” menurut rakaman akhir.

Afrika Selatan adalah negara dengan idea ‘bangsa majmuk’ tetapi ketika penduduk pada umumnya tinggal dalam harmoni 14 tahun selepas berakhirnya aparteid, persoalan mengenai keturunan menguasai banyak isu, dari pendidikan kepada ekonomi. Video berkenaan nyata mengejutkan semua pihak.

Liga Belia Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkata: “Tindakan merendahkan dan memperlakukan pekerja seperti haiwan itu cuma sedikit dari apa yang dilalui pekerja setiap hari di tangan kumpulan pengamal perkauman yang tidak dapat membezakan antara anjing, babun dan manusia.”

Parti Freedom Front Plus berhaluan kanan itu mengutuk filem itu dan menggambarkan adegan itu sebagai ‘kezaliman.’ Pihak berkuasa universiti berkata, dua pelajar terbabit menamatkan ijazah, manakala dua lagi dibuang kampus.

Mereka menambah, dakwaan jenayah difailkan terhadap keempat-empatnya.

- Agensi