Khamis, 28 Februari 2008

Anak Suharto dapat pampasan RM1.76 juta


JAKARTA: Sebuah mahkamah Indonesia semalam membenarkan bayaran ganti rugi sebanyak AS$552,000 (RM1.76 juta) kepada Hutomo ‘Tommy’ Mandala Putra (gambar) yang juga anak bekas Presiden, Allahyarham Suharto. Tommy mendapat bayaran itu selepas mahkamah memutuskannya menang kes saman fitnah terhadap agensi kerajaan yang menuduhnya rasuah.

Agensi logistik atau Bulog turut menuduh Tommy sebagai punca ia mengalami kerugian hampir AS$53 juta (RM169 juta) menerusi satu perjanjian jual beli hartanah pada 1995.

“Berikutan reputasi defendan (Tommy) sebagai usahawan yang terkenal serta reputasinya pada peringkat tempatan dan antarabangsa, tuduhan dikemukakan itu memang menjejaskannya. Bukan setakat reputasinya tercemar, tetapi kredibiliti dan pandangan rakan kongsinya di dalam dan luar negara terhadapnya juga terjejas,” kata hakim Esran Basuning.

Peguam Bulog, Asfifudin berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan. Keputusan terbaru itu sudah pasti mencetuskan kemarahan aktivis antirasuah selain membangkitkan persoalan berhubung sistem perundangan Indonesia yang turut didakwa mengamalkan rasuah.

Kalangan pengkritik sebelum ini mendakwa golongan kaya dan berpengaruh yang menjadi defendan, merasuah ramai hakim dan pendakwa bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Tommy yang pernah menjalani hukuman lima tahun penjara kerana mengarahkan pembunuhan hakim Mahkamah Agung, didapati bersalah pada 2000 kerana menerima hartanah secara haram daripada agensi Bulog berkenaan. Ia sebagai pertukaran mendapatkan tender pembinaan gedung beli-belah.

Sebuah Mahkamah Tinggi bertindak mengubah keputusan itu, tetapi pihak Pendakwa Raya melancarkan prosiding awam ke atas Tommy bagi pihak Bulog. Kes itu bagaimanapun, ditolak.

- AP