WASHINGTON: Senator Barack Obama yang mendahului persaingan calon Demokrat dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, kebelakangan ini bersungguh-sungguh menafikan kaitan dirinya dengan Islam, ketika pemilihan memasuki kemuncaknya. Obama minggu ini melenting apabila gambarnya memakai pakaian tradisional ala Islam Somali disebarkan dalam internet dan terpaksa pula menjelaskan dalam debat dengan saingannya Senator Hillary Clinton dan kepada kumpulan Yahudi di Ohio mengenai sokongan diterimanya daripada Louis Farrakhan, pemimpin Nation of Islam.
Dalam debat dengan Hillary, Obama menolak sokongan diberikan Farrakhan dan juga berkali-kali menegaskan bahawa beliau adalah seorang penganut agama Kristian.
“Jika seseorang yang masih meragui mengenai hakikat (dirinya), saya tidak pernah menganut agama Islam,” kata Obama kepada pemimpin Yahudi di Cleveland, Ohio.
Kempen Obama kini meneliti dengan khabar angin yang disebarkan mengenai agama calon mereka. Maklumat mengenai agama Obama disediakan di lama web calon itu di bawah tajuk Know the facts.
“Pasukan kami sentiasa memberi tindak balas pantas mengenai apa-apa maklumat salah berhubung Senator Obama,” kata jurucakapnya Bill Burton.
- AP