MAHMOUD (tengah) berdiri bersama beberapa pegawai di hadapan sebuah roket penyelidikan Iran.
IRAN mengejutkan Barat dengan mendedahkan sebuah pusat angkasa lepas yang akan digunakan untuk melancarkan beberapa satelit penyelidikan.
Pusat angkasa yang terletak di sebuah gurun di utara negara berkenaan itu juga digunakan untuk melancarkan sebuah roket ke angkasa lepas semalam.
Roket yang dilancarkan itu dikenali sebagai Explorer-1 dan direka bagi membawa sebuah satelit penyelidikan buatan tempatan.
Tindakan itu juga menunjukkan kemajuan dalam teknologi roket Iran ketika pihak Barat gentar dengan rancangan negara tersebut untuk menguasai teknologi nuklear.
Pusat angkasa lepas itu mengandungi stesen kawalan bawah tanah dan sebuah pusat pelancar yang akan digunakan untuk melancarkan satelit buatan Iran, Omid ke angkasa.
Iran sebelum ini mula melancarkan program angkasa sejak beberapa tahun lalu dan pada Oktober 2005, sebuah satelit negara itu buatan Rusia dilancarkan ke orbit oleh roket Rusia.
Bagaimanapun, satelit Omid adalah buatan tempatan pertama yang bakal dilancarkan oleh Iran ke angkasa lepas.
Stesen televisyen negara itu menyiarkan imej pelancaran roket itu yang menyamai peluru berpandu Shahab-3.
Roket berkenaan dilancarkan selepas laungan Allahuakbar oleh sekumpulan orang yang berada di pusat angkasa lepas itu di sebuah gurun di wilayah Semnan.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad turut menyaksikan pelancaran roket itu dengan menyatakan Iran melakukan langkah pertama dalam bidang angkasa lepas.
"Membina dan melancarkan sebuah satelit merupakan satu pencapaian yang berharga," katanya yang memberi arahan pelancaran roket tersebut dari ibu pejabat agensi angkasa lepas.
Imej-imej itu menunjukkan roket berkenaan menuju ke arah angkasa lepas tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklumat diperoleh mengenai ketinggiannya.
Bagaimanapun, sebuah objek kecil yang tidak diketahui kandungannya kemudian gugur ke Bumi.
Stesen televisyen Iran menyatakan bahawa satelit itu memerlukan tempoh 10 tahun untuk dibina dan agensi berita IRNA melaporkan ia akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan.
Stesen televisyen Iran menyatakan bahawa satelit itu memerlukan tempoh 10 tahun untuk dibina dan agensi berita IRNA melaporkan ia akan dilancarkan dalam tempoh 12 bulan.
"Roket penyelidikan itu merupakan sebahagian daripada persediaan untuk melancarkan sebuah satelit ke orbit," kata IRNA.
Menurut stesen televisyen negara itu, berikutan pelancaran tersebut, Iran kini menyertai 11 buah negara di dunia mempunyai teknologi angkasa untuk membina dan melancarkan roket ke angkasa.
Ruang angkasa lepas dianggap bermula pada jarak 100 kilometer dari bumi.
Satelit radio Ham adalah yang paling rendah ketinggiannya apabila ia berada di orbit antara 160 hingga 500 kilometer dari Bumi.
Pada kelazimannya satelit komunikasi dan cuaca terbang pada jarak 400 hingga 20,000 kilometer dari Bumi.
Pada Februari 2007, Iran menyatakan bahawa ia berjaya melancarkan sebuah roket buatan tempatan ke angkasa buat pertama kalinya untuk tujuan penyelidikan.
- Agensi