Isnin, 4 Februari 2008

Rai makin cerewet


MUMBAI - Aktres Bollywood, Aishwarya Rai mendedahkan bahawa dia hanya memilih filem-filem berkualiti untuk dilakonkannya, kata sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan dia kerap berlakon dalam filem terbitan Hollywood seperti Pink Panther 2, The Last Legion, The Mistress Of Spices.

"Persepsi yang menyatakan bahawa saya mempunyai kecenderungan untuk berlakon filem Hollywood adalah hanya merupakan satu spekulasi.

"Saya memilih filem berdasarkan skrip, merit dan bukannya bahasa," katanya.

"Jika anda menonton filem yang sudah saya lakonkan, anda akan dapat perhatikan bahawa saya berlakon lebih banyak filem terbitan Bollywood berbanding filem luar.

"Saya mahu menjadi sebahagian daripada filem yang bagus," tambahnya.

Rai memulakan karier lakonan antarabangsanya pada 2004 melalui filem arahan Gurinder Chadha, Bride and Prejudice dan kemudian, Provoked: A True Story, The Last Legion, The Mistress Of Spices dan filem terbarunya, Pink Panther 2.

Pelakon itu pernah ditawarkan berlakon oleh Sir Ben Kingsley untuk filem Shah Jahan dan Bhopal Movie iaitu satu tragedi benar yang melanda kota perindustrian Bhopal pada 1984.

Filem epik terbaru Rai yang berjudul Jodhaa Akbar akan ditayangkan pada 15 Februari ini.

- Agensi