SEBELUM ini, ia cuma dalam filem. Sebuah kereta amfibia yang boleh dipandu di darat dan di dalam air seperti dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me. Tetapi, kini sebuah syarikat Switzerland merealisasikannya.
Dinamakan sQuba, kereta berkenaan dibangunkan oleh pereka Switzerland, Rinspeed Inc. dan ia dijangka akan 'mengejutkan' ramai apabila membuat kemunculan di Geneva Auto Show pada bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Frank Rinderknecht yang mengakui sebagai peminat Bond berkata, dia telah menanti selama 30 tahun untuk 'membina semula' kereta yang pernah digunakan oleh aktor, Roger Moore itu.
Kereta sQuba boleh membawa anda masuk ke dalam air sehingga kedalaman 30 kaki (9.1 meter). Bagaimanapun, anda perlu mengenakan baju basah.
Kereta itu dibina dengan bahagian atas yang terbuka sekali gus membawa makna pengguna tidak akan terlepas daripada dibasahkan.
"Untuk tujuan keselamatan, kami telah membinanya sebagai kenderaan terbuka maka pengguna kenderaan ini boleh menyelamatkan diri dengan pantas jika berlaku kecemasan," kata Rinderknecht.
Penumpang akan boleh bernafas di dalam air menerusi sebuah tangki mampatan udara integrasi sama seperti yang digunakan dalam selaman skuba.
Kelajuan maksimum sQuba di daratan adalah kira-kira 124 kilometer sejam dan kelajuan akan berkurangan sehingga lima kilometer sejam di permukaan air dan berkelajuan tiga kilometer sejam di dalam air.
Bekerja dengan pakar kejuruteraan, Rinspeed Inc. mengubah penggunaan enjin kebuk pembakar dari sebuah kereta sport kepada beberapa motor elektrik. Tiga enjin diletakkan di belakang kereta dengan satu menyediakan rejang pemanduan di daratan dan dua lagi untuk pemanduan di dalam air.
"Kami selalu mahu menghasilkan kereta yang melampaui batasan, yang mana tidak ada sesiapa pernah melakukannya. Jadi, kami fikir, ayuh bina kereta menyelam!" kata Rinderknecht.
Rekaan dalamannya direka tahan air masin, lalu membolehkan ia dipandu di dalam tasik ataupun laut.
Rinspeed Inc. kini masih dalam diskusi dengan pembuat-pembuat kereta komersial untuk menghasilkan sQuba pada bilangan terhad.
Kosmo!