LOS ANGELES - Satu notis di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) menyatakan kawasan kediaman Neverland Ranch milik penyanyi terkenal, Michael Jackson akan dilelong sekiranya dia gagal membayar hutangnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Syarikat hartanah Financial Title Co. memfailkan notis tersebut di Mahkamah Tinggi Santa Barbara kelmarin dengan meletakkan tarikh lelongan pada 19 Mac ini.
Michael yang terkenal dengan gelaran Jacko itu sebelum ini meminjam wang berjumlah AS$24.5 juta (RM78.47 juta) dari syarikat itu untuk membayar hutangnya.
Pembida yang berjaya membeli ladang itu juga memiliki segala peralatan yang terdapat di hartanah tersebut termasuk barangan elektrik, perabot, zoo dan beberapa permainan seperti buaian pusing.
Jacko yang terkenal dengan lagu Thriller tidak tinggal di ladang berkenaan sejak Jun 2005 selepas dia berpindah ke Bahrain.
Pada tahun 2006, pihak berkuasa mengarahkan kediaman itu ditutup selepas Jacko tidak membayar gaji para pekerjanya dan tidak membayar insurans.
Jacko membeli hartanah seluas 1,133 hektar itu pada 1987 dan memberitahu bahawa dia mahu menjadikan hartanah itu sebagai "syurga untuk kanak-kanak".
Ia juga dilengkapi dengan beberapa permainan seperti taman tema dan sebuah zoo yang mempunyai sejumlah haiwan seperti gajah, ular dan zirafah.
- Agensi