Ahad, 10 Februari 2008

Kota London diancam 80 juta tikus


LONDON: Britain kini berdepan ancaman sekurang-kurangnya 80 juta tikus yang kini dilaporkan bersarang dan memenuhi kediaman, laman serta kenderaan di seluruh negara itu. Akhbar Guardian melaporkan semalam, haiwan perosak berkenaan kini bertumpu di kediaman, khususnya di kawasan bandar serta di dalam kenderaan selepas sarangnya di tangki kumbahan dan longkang, musnah ditenggelami banjir. Malah, sampah-sarap dengan sisa makanan segera, menjadi antara punca kebanjiran tikus di sekitar penempatan negara maju berkenaan.

Kawasan perumahan di bandar disenaraikan antara paling teruk dilanda serangan tikus itu. Kebanjiran haiwan perosak itu juga dikaitkan dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah meletakkan racun tikus ke dalam longkang dan lubang bawah tanah sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengekang bilangannya. Ini disebabkan tikus secara purata membiak pada kadar lima kali setahun dengan setiap pusingan menyaksikan kelahiran tujuh atau lapan anak.

Peningkatan masalah akibat haiwan perosak itu juga dikaitkan dengan kemajuan pesat sektor pembinaan di bandar, khususnya persiapan sempena temasya Olimpik di London pada 2012. Masalah itu terbukti memberi keuntungan besar kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan menangkap tikus dan yang menjual racun haiwan perosak berkenaan. Rentokil, syarikat perkhidmatan kawalan haiwan perosak terbesar Britain, menyatakan permintaan menghapuskan ancaman tikus meningkat lebih satu perempat tahun lalu.

Satu lagi syarikat pengeluar racun tikus, Killgerm pula menyatakan hasil jualannya meningkat satu perempat pada 2007. Rentokil menganggarkan 60-85 juta ekor tikus di Britain yang terbukti mampu hidup bergantung kepada 210 tan longgokan makanan, tahun ini. Jumlah itu yang jauh meningkat mendadak berbanding 45-50 juta ekor sedekad lalu, menyaksikan pertambahan hampir 40 peratus.

Kawasan paling teruk adalah di selatan England, barat Scotland dan Ireland Utara manakala hanya kawasan di Anglia Timur dan selatan Midlands catat penurunan.

- Agensi