PARIS: Wanita yang melahirkan anak lelaki lebih berkemungkinan mengalami kemurungan selepas bersalin berbanding mereka yang melahirkan anak perempuan. Penyelidikan yang dibuat di Perancis mendapati tiga perempat daripada wanita dilanda masalah kemurungan selepas bersalin teruk, memiliki anak lelaki.
Malah, jika ibu tidak dirawat kerana kemurungan, kehadiran anak lelaki lebih berkemungkinan mengurangkan kualiti hidup berbanding wanita yang melahirkan anak perempuan, menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Nursing.
Sepasukan penyelidik diketuai Profesor Claude de Tychey, dari Universiti Nancy di Perancis, mengkaji 181 wanita dari komuniti yang tiada tekanan mengenai jantina anak. Semua wanita berusia 19 hingga 40 tahun, dengan 52 peratus melahirkan anak lelaki dan 48 peratus melahirkan anak perempuan.
Satu pertiga menunjukkan tanda kemurungan selepas bersalin apabila ditemubual satu hingga dua bulan selepas kelahiran dan sembilan peratus menunjukkan gejala teruk.
Profesor de Tychey berkata: “Ketika melancarkan penyelidikan, matlamat kami adalah untuk mengkaji kesan jantina ke atas masalah kemurungan selepas bersalin.
“Namun, hasil kajian menunjukkan jantina memainkan peranan penting dalam mengurangkan kualiti hidup selain meningkatkan peluang mengalami kemurungan selepas bersalin yang teruk.”
Mereka juga mendapati wanita yang melahirkan anak lelaki melaporkan kualiti hidup rendah dalam 70 peratus kes berbanding wanita yang melahirkan anak perempuan, tidak kira sama mereka mengalami masalah kemurungan selepas bersalin.
Di kalangan wanita yang tidak mengalami kemurungan, ibu kepada anak lelaki mempunyai kadar kualiti hidup rendah dalam sembilan daripada 10 kategori.
“Perangkaan menunjukkan amat jelas memiliki anak lelaki menyebabkan kualiti hidup rendah dalam semua kes. Kami juga mendapati menjadi ibu kali pertama tidak memberi kesan kepada kualiti hidup,” kata de Tychey.
Kajian juga mendapati wanita yang melahirkan anak pertama perempuan lebih berkemungkinan mendapat anak lagi berbanding mereka yang melahirkan anak pertama lelaki.
- Agensi